Membawang Hari Ini

Salamiah berpada guna laman sosial

Melihatkan kepada kepesatan teknologi, rata-rata artis generasi baru lebih selesa menggunakan medium itu sebagai platform untuk berkongsi cerita terbaru mereka selain berinteraksi dengan peminat.

Secara tak langsung, mereka menggunakan media sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter secara positif.

Bagi penyanyi veteran, Salamiah Hassan, dia akur dengan kemajuan ini, namun masih menyarankan kepada artis muda supaya tetap mengekalkan hubungan baik dengan dunia sebenar.

“Ia ruang yang bagus untuk iklankan sesuatu tapi pada masa sama, perlu juga kekalkan hubungan dengan dunia sebenar. Antara hubungan perlu dijaga adalah antara artis dengan rakan media.

“Tidak semua benda kita boleh kongsikan di laman sosial dan dengan adanya hubungan baik dengan rakan media, lebih mudah untuk kita bercerita dan mereka akan sampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Bercerita mengenai penggunaan media sosial sebagai penghubung dengan dunia luar, penyanyi berusia 65 tahun ini juga kerap mengikuti perkembangan semasa.

“Di Facebook contohnya, banyak disiarkan video mengenai keganasan anak muda dan remaja. Bagi saya, perkara sebegitu menyentuh jiwa saya sebagai seorang ibu.

“Walaupun mudah untuk kita berkongsi segala benda, tetapi tidak semua boleh dikongsikan di media sosial. Saya tidak begitu bersetuju apabila ada sesetengah pihak berkongsi video dan gambar anggota keluarga yang sedang nazak atau meninggal dunia,” katanya.

Salamiah juga mengakui, dia kerap menggunakan Instagram sebagai ruang untuk berinteraksi dengan peminatnya.

“Kalau dulu sebelum wujudnya media sosial, tak banyak medium untuk berinteraksi dengan peminat. Berbeza dengan zaman sekarang yang serba maju dan semuanya di hujung jari.

“Jarang sekali untuk saya tidak membalas komen daripada peminat dan pengikut Instagram. Itu juga adalah sebagai tanda penghargaan buat mereka,” katanya.

Terbaru, Salamiah bakal menggegarkan Esplanade, Singapura menerusi konsert pertamanya di negara itu.

“Sebelum ini, sambutan yang diberikan pada Konsert Gelombang di Istana Budaya sangat menggalakkan. Di atas permintaan ramai peminat dari Singapura, saya akan membawa konsert itu ke Esplanade pada 1 Januari depan.

“Di konsert itu, insya-Allah saya akan menyampaikan 20 lagu termasuk beberapa lagu lama saya seperti Miang Keladi dan Semut Semut di Titian Usang yang mendapat permintaan menggalakkan daripada warga Singapura,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya apabila berpeluang mengadakan konsert di Singapura, Salamiah mengakui teruja dan rasa dihargai.

“Selalunya, sambutan peminat di Singapura berbeza dengan sambutan di Malaysia. Mungkin kerana mereka jarang berpeluang menonton konsert dan persembahan sebegini, jadi, rasa terujanya lebih,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");