Membawang Hari Ini

‘Saya tawarkan diri’

Secara tiba-tiba lagu Realiti dan Fantasi nyanyian kumpulan Crossfire kembali popular apabila pengarah Mamat Khalid memuatkannya dalam filem Rock Oo.

Bagaimanapun, tidak ramai peminat terutama generasi baru mengenali anggota kumpulan ini.

Crossfire yang berasal dari Muar, Johor dianggotai Abu Bakar Othman (Assu), Yusri Razali (Yus), Abdul Halim Hussin (Aim), Mohd Alias Haron (Yas) dan Syed Taufiq Syed Salleh (Fiq). Album pertama Crossfire berjudul Fatamorgana yang memuatkan lagu Realiti dan Fantasi diterbitkan oleh Samad Lefthanded pada 1989.

Keseluruhannya kumpulan yang menampilkan genre heavy metal ini berjaya menghasilkan tujuh album sebelum menyepi.

Mengimbas kenangan lalu, Aim yang juga vokalis band itu berkata, dia sebenarnya bermula sebagai pemain gitar dan berguru dengan Assu yang menetap di Muar.

“Saya sebenarnya anggota kumpulan lain dan sebaik habis berniaga saya bergerak dari Batu Pahat ke Muar untuk belajar.

“Usia saya ketika itu belasan tahun dan saya nak asah skil bermain gitar. Assu memang baik orangnya dan mengajar saya secara percuma.

“Dalam masa belajar, saya lihat jadual persembahan Crossfire sangat padat. Mereka memang laris buat persembahan di majlis kenduri kahwin di Johor,” katanya.

Kongsi Aim lagi, suatu hari dia melihat Assu termenung seorang diri dan ketika ditanya, sahabatnya itu memberitahu sedang mengalami krisis dengan penyanyi Crossfire, Isa Rahman.

“Saya terus menawarkan diri menggantikan tempat Isa. Assu terkejut kerana posisi saya bersama kumpulan lain ialah sebagai pemain gitar.

“Dia terus ajak ‘jamming’ untuk lihat kemampuan saya. Assu terkejut apabila mendapati saya boleh menyanyi dengan baik dan terus ajak sertai Crossfire kerana jadual mereka memang padat,” katanya.

Aim mengakui paparan cerita Rock Oo sebelum ini seakan-akan sama seperti situasi yang pernah dilalui Crossfire apabila terpaksa berkongsi makan mi segera.

“Pelbagai jerih-perih terpaksa kami lalui sebelum berjaya. Album kami juga pernah digam RTM. Saya setuju dengan apa yang Mamat tampilkan.

“Cuma apa yang lebih ditonjolkan adalah fenomena rock di Perak. Ada perbezaan antara rock di Perak dan Johor dari segi pemakaian,” katanya.

Aim kini menetap di Batu Pahat membantu Assu menguruskan Quantize Studio. Dia masih aktif menerbitkan album beberapa artis antaranya Bloodbrothers dan Zali’s Band.

“Saya masih pegang konsep bekerja seperti dulu bagi menjaga kualiti album. Sebenarnya saya pernah ditawarkan menyertai hadir uji bakat sebuah program popular yang menampilkan artis lama.

“Namun saya menolak kerana rasa cukup-cukuplah menyanyi. Saya lepaskan rasa rindu menyanyi dengan merakam single terbaru setiap tahun bersama Crossfire,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");