Jenayah

‘Jangan buang merata’

Kuala Pilah: “Kalau ibu bapa tak mahu jaga bayi ini serahkan pada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bukan dengan membuang di merata-rata,” kata Ramlah Sitot, 75, yang menemui seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan di Kampung Ulu Melang, di sini, semalam.

Ramlah berkata, bayi itu ditemui atas kerusi panjang di depan sebuah rumah kosong jam 8.10 pagi.

Katanya, dia yang selesai bersenam bersama seorang rakan ketika itu masing-masing mahu pulang ke rumah.

“Sebaik melalui rumah itu, kami dapati ada benda bergerak-gerak atas kerusi. Disebabkan itu saya dan rakan mendekatinya sebelum dikejutkan penemuan seorang bayi,” katanya.

Menurutnya, bayi itu tidak berpakaian atau ditutup sebarang kain.

“Sewaktu mengangkat bayi itu, hati ini luluh memikirkan tergamak ibu bapanya membuangnya. Mereka sepatutnya bertanggungjawab atas apa berlaku,” katanya.

Dia berkata, mujur bayi ditemui pada pagi, jika tidak cahaya matahari akan mengenainya tambahan pula rumah itu berada tepi jalan.

Katanya, dia membalut tubuh bayi menggunakan kain sarung sebelum dibawa pulang ke rumahnya.

“Saya menghubungi seorang anak dan kami membawanya ke balai polis dan seterusnya ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Deputi Superintendan Mohamad Abas berkata, pihaknya memburu ibu bapa bayi terbabit mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Polis meminta penduduk kampung atau ibu bapa memberi kerjasama sekiranya mendapati anak perempuan mereka dalam keadaan mencurigakan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar berkata, bayi itu tidak cedera dan kini di bawah jagaan JKM daerah.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");