Berita Hari Ini

Kada agih bantuan RM2.4 juta

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) agih bantuan dalam bentuk peralatan bernilai RM2.4 juta sepanjang tahun ini dalam usaha meningkatkan pendapatan petani berskala kecil dalam kawasan seliaannya.

Pengerusinya, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, sumbangan dalam skala besar itu bermatlamat membantu petani dan penternak yang bergerak secara kecil-kecilan di sembilan Dun dalam kawasan Kada.

Menurutnya, antara Dun menerima manfaat tersebut ialah Wakaf Bharu, Pengkalan Kubur, Tendong, Jelawat, Kok Lanas, Kadok, Melor, Tawang dan Selising.

“Kita telah menjayakan beberapa majlis sebelum ini dan semalam membabitkan Dun Kadok, Melor dan Kok Lanas di mana jumlah penerima seramai 362 orang terdiri daripada petani dan penternak dengan nilai keseluruhan bantuan RM750,000.

“Setiap Dun dapat bantuan RM250,000 bagi tujuan menjayakan projek pertanian seperti tanam sayur, projek ternakan biri-biri melalui sistem pawah, benih ikan air tawar, baik pulih kandang dan banyak lagi. Kita akan tengok hasilnya nanti, sejauh mana ia akan membantu kehidupan penerima, sekurang-kurangnya dapat menjana pendapatan lebih,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil Kada 2016 di sini, semalam.

Beliau berkata, sistem baharu seperti projek ternakan biri-biri secara pawah dilaksanakan bagi menjamin keberkesanannya dan bermanfaat secara keseluruhannya kepada penternak.

“Sistem pawah ini lebih efisien sebabnya penternak yang terima bantuan berupa lima biri-biri ini kena serah kepada Kada bila berjaya dapat anak biri-biri pertama kemudian kita akan bagi kepada penternak lain pula, biar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.

“Kita bimbang kalau tidak buat begini usaha untuk bantu petani dan penternak tidak akan berkesan. Walaupun Kada dah agihkan bantuan namun penerima kena berusaha lebih keras bagi menaik taraf ekonomi dan kehidupan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd Fadhli Mat Nor,43, berkata, agihan yang diperoleh dari Kada amat membantu dalam mengembangkan lagi aktiviti penternakan dan pertanian yang dilakukannya sejak sekian lama.

“Saya diangkat sebagai penternak contoh oleh Kada kerana berjaya ternak 30 biri-biri dan kibas untuk tujuan komersial. Insya-ALLAH saya cuba sedaya upaya naik taraf kehidupan keluarga,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");