Jenayah

Remaja maut dilanggar lori selepas jatuh motosikal

MERSING: Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin Endau maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan sebuah lori, malam tadi.

Mangsa, Wan Mustaffar Wan Ahmad, 15, yang sedang menanti keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dipercayai terjatuh dari motosikal yang diboncengnya sebelum dilanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan berhampiran simpang ke Kampung Hubong.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam di KM 04 Jalan Mersing-Endau itu berlaku apabila sebuah motosikal yang dalam perjalanan dari Kampung Air Tawar ke pekan Endau terlanggar motosikal di hadapannya.

“Itu menyebabkan motosikal melanggar itu hilang kawalan dan pemboncengnya jatuh lalu dilanggar sebuah lori yang datang dari hala berlawanan,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian kawasan terlibat gelap susulan lampu jalan yang tidak berfungsi kerana bekalan elektrik terputus di Endau.

Menurutnya, pemandu lori ikan tiga tan dari Endau ke Batu Pahat terlibat berusia 50-an telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara ibu mangsa, Junainah Rahim, 40, berkata pada hari kejadian, anak lelakinya itu keluar dari rumah selepas Maghrib.

“Kebiasaannya mangsa memaklumkan tiap kali keluar rumah namun semalam, mangsa tidak memberitahunya apa-apa,” katanya.

Junainah beberapa kali pengsan di lokasi kejadian selepas melihat keadaan anak sulungnya itu.

Sementara itu, bapanya, Wan Mohamad Wan Abd Rahman, 46, merupakan polis bantuan di Endau sedang bertugas ketika dimaklumkan kejadian menimpa anaknya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");