Sukan Hari Ini

Rusdi mahu pemain waspada kebangkitan Pahang

KEMAMPUAN Pahang bangkit daripada ketinggalan 3-2 di Kuantan untuk memenangi perlawanan suku akhir kedua di Tampin seterusnya ke separuh akhir Piala Emas Raja-Raja Ke-76 2016, cukup dihormati Rusdi Suparman.

Skuad bimbingan Zulhamizan Zakaria itu yang mulanya tampak seperti hampir tersingkir, masih mampu menang 2-0 malah menariknya ialah apabila menumbangkan Negeri Sembilan, juara bertahan dan juara Piala Agong 2016 secara agregat 4-3.

Justeru Rusdi, jurulatih Kuala Lumpur menganggap lawan pastinya bukan calang-calang pasukan apatah lagi tuan rumah kebal tanpa kalah dan tanpa bolos sepanjang saingan peringkat Kumpulan A di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

“Mereka juga juara kumpulan itu dengan menewaskan Singapura, Pulau Pinang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM – satu lagi pasukan separuh akhir),” katanya.

Namun kata Rusdi, Kuala Lumpur perlu memasang taktikal tertentu di Kuantan dalam memburu gol tempat lawan bagi membawa modal dan kelebihan apabila ke separuh akhir kedua di gelanggang sendiri pada 3 Disember ini.

“Agak menyulitkan kami adalah untuk mengumpul semua pemain dalam sesi latihan menjelang separuh akhir ini kerana ramai yang terlibat menjalani ujian pemilihan pasukan Liga Malaysia.

“Untuk bertahan sepanjang masa pastinya bukan pilihan Kuala Lumpur dalam separuh akhir pertama,” kata bekas penolong jurulatih Harimau Muda A yang membantu Datuk Ong Kim Swee pada Sukan Asia Incheon 2014 dan Razip Ismail dalam Liga Singapura 2015.

Rusdi turut masih menilai tahap kecergasan dua tonggaknya, Nicholas Wee dan Wan Afiq Kasbi yang masing-masing cedera dalam tempoh tiga hari menjelang separuh akhir di Kuantan.

“Hanya Saiful Hasnul yang tidak dapat bermain kerana menjalani penggantungan permainan kerana mengumpul dua kad kuning,” katanya yang skuad ibu kotanya diperkuatkan tiga tonggak Liga Perdana – Helmi Ramli, Hafiz Johar dan Zhafri Yahya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");