Sukan Hari Ini

Speedy Tigers masih kerdil di Melbourne

PENGENDALI skuad hoki negara, Stephen van Huizen perlu mencari formula terbaik segera dalam usaha mempersiapkan pasukan untuk Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Trinidad & Tobago Mac depan.

Jika bersandarkan kepada prestasi terbaharu skuad negara di Festival Hoki Melbourne baru-baru ini, jelas banyak lagi yang perlu diperbaiki skuad negara.

Dalam festival itu, Speedy Tigers hanya mampu seri sekali dan kalah dua perlawanan.

Ia menjadi hakikat betapa kita masih kerdil untuk menentang kelompok 10 terbaik dunia seperti Australia, India dan New Zealand.

Walaupun skuad negara ke Melbourne tanpa beberapa tonggak utama seperti Nabil Fiqri, Razie Rahim, Fitri Shaari dan Faiz Helmi Johari namun itu tidak boleh dijadikan alasan apatah lagi skuad yang cuba dibangunkan ini adalah skuad jangka panjang bagi menghadapi Piala Dunia dan Sukan Olimpik 2020.

Malah, prestasi skuad negara juga dilihat mengalami turun naik jika di bandingkan dengan aksi pada Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Kuantan tempoh hari apabila mereka beraksi cemerlang menduduki tempat ketiga keseluruhan.

Beberapa kelemahan sebenarnya boleh dilihat antaranya sering ditembusi pada minit-minit akhir perlawanan selain kegagalan jentera serangan menyudahkan peluang terhidang.

Contoh jelas pada festival ini apabila skuad negara melepaskan gol pada suku keempat permainan walaupun sedang mendahului New Zealand 1-0 dan mensia-siakan peluang untuk mengutip tiga mata.

Situasi sama turut terjadi ketika menentang India apabila melepaskan dua gol dalam tempoh lima minit sebelum wisel penamat selain turut dihukum oleh Australia dengan tiga gol di penghujung babak perlawanan seterusnya dimalukan dengan jumlah jaringan 0-5.

Janji penambahbaikan

Menyedari hakikat kealpaan di benteng pertahanan, van Huizen berjanji akan cuba memperbaiki aspek tersebut.

“Di bahagian serangan pemain bermula agak perlahan dan mengambil tempoh agak panjang untuk menyesuaikan diri dalam perlawanan.

“Manakala, masalah di benteng pertahanan juga akan kami atasi. Apa-apa pun ini adalah medan untuk memberikan pendedahan kepada pemain,” katanya.

Kata van Huizen lagi, festival kali ini juga menjadi medan terbaik untuknya mendapat gambaran pemain bagi menghadapi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia.

Jangan hukum lagi

Sementara itu, bekas pemain hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi tidak mahu peminat hoki negara menghukum mahupun mengkritik prestasi pasukan kebangsaan ketika ini.

Menurutnya, peminat perlu realistik tahap kemampuan yang dimiliki pasukan kebangsaan berbanding pasukan yang bertanding di festival hoki tersebut.

“Kita perlu realistik sebenarnya kerana kita bersaing dengan Australia di kedudukan pasukan nombor satu dunia, India pula di kedudukan keenam dunia sementara New Zealand dalam ranking 10 terbaik dunia.

“Jadi sememangnya agak sukar untuk skuad kebangsaan menunjukkan sesuatu dalam festival ini.

“Apa yang boleh dilihat ini ialah medan memantapkan pasukan pada masa depan. Jadi jangan hukum dulu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");