Isu Panas

Tak pernah ada perbincangan

PARIT BUNTAR – Pas Perak menafikan berlakunya sebarang usaha perbincangan pembahagian kerusi pilihan raya dengan Umno di mana-mana kawasan sebagaimana tersebar dalam aplikasi media sosial sejak seminggu lalu.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, sebelum ini, kepimpinan Pas Kawasan Parit Buntar mengesan penyebaran fitnah berlaku perbincangan pembahagian kerusi pilihan raya antara kepimpinan Pas kawasan itu dan Umno Bahagian Parit Buntar dalam kalangan ahli Pas.

Menurutnya, penyebaran fitnah itu turut mendakwa kononnya Pas Kawasan Parit Buntar bersetuju bekerjasama dengan Umno dengan memberi laluan parti itu bertanding kerusi Parlimen, manakala dua kerusi Dun ditandingi parti Pas.

“Hakikat sebenar sepanjang perbincangan dalaman parti, langsung tiada sebarang ura-ura atau spekulasi memungkinkan kami akan bekerjasama dengan Umno.

“Sebagaimana ditetapkan Majlis Syura Pas, tidak akan ada sebarang perundingan kerjasama antara Pas dengan Amanah dan DAP, malah dengan Umno sendiri langsung tiada sebarang perbincangan berlaku hingga kini,” katanya pada sidang media sempena majlis pra pelancaran Program Kerian Bermunajat di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, semalam.

Hadir sama, Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain; Adun Selinsing, Husin Din dan Yang Dipertua Pas Kawasan Parit Buntar, Bahrin Desa.

Razman berkata, sehingga kini, hanya PKR masih dianggap berada dalam tahaluf lama bersama Pas, namun soal pengekalan tahaluf bergantung kepada keputusan akhir Majlis Syura.

Bagaimanapun, sekiranya Pas Perak mengekalkan tahaluf siyasi dengan PKR, sebarang konsep perkongsian dan pembahagian kerusi mengikut kaedah lama dalam Pakatan Rakyat (PR) terbatal secara automatik.

“Sekiranya PKR bersetuju hendak mengadakan perkongsian baharu, Pas akan tentukan dan membuat penumpuan sendiri kerusi ditandingi.

“Selebihnya terserah kepada mereka (sama ada hendak terima atau tidak),” katanya.

Razman turut menegaskan pihaknya masih belum menerima sebarang jemputan daripada mana-mana parti termasuk PKR untuk mengadakan perbincangan kerjasama bagi menghadapi PRU14.

“Kita tiada masalah untuk bertanding bersendirian dan sekiranya Amanah, PKR dan DAP benar-benar hendak mengalahkan BN pada PRU akan datang, mereka jangan bertanding di kawasan Pas,” katanya.

Sementara itu, Bahrin ketika ditemui menegaskan mesej fitnah dihantar melalui WhatsApp itu disebarkan kepada kepimpinan jawatankuasa Pas Kawasan Parit Buntar.

Menurutnya, antara kandungan WhatsApp itu menyatakan kononnya Pas kawasan bersetuju untuk menjadi ‘barua’ Umno di Parlimen Parit Buntar pada PRU akan datang.

“Kami kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah sebegini dan berpendapat ia satu bentuk perang saraf untuk lemahkan jentera pilihan raya Pas.

“Kami sudah mengenal pasti individu tersebut iaitu bekas orang penting parti itu dan mendesak penyebaran fitnah itu dihentikan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");