Berita Hari Ini

Desak sesi Parlimen khas bahas isu Rohingya

KUALA TERENGGANU – Kerajaan didesak melaksanakan sesi Parlimen Khas bagi membahaskan isu pembunuhan Islam Rohingya dengan segera, jika kerajaan sensitif berhubung kekejaman ke atas etnik minoriti di Myanmar itu.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, kerajaan perlu membuat keputusan rasmi dan tegas di Parlimen berbanding Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, sebagaimana dijadualkan esok.

Raja Bahrin turut mempersoalkan pendirian pihak terlibat yang menyepi di Dewan Rakyat ketika dibangkitkan mengenai kezaliman tentera Myanmar terhadap Rohingya, tetapi lantang bersuara di luar sedangkan sebagai sebuah kerajaan, mereka boleh membuat keputusan rasmi di Parlimen yang lebih penting berbanding himpunan.

“Isu pembunuhan kejam rakyat Islam Rohingya sudah lama berlaku dan kerajaan Malaysia lesu dalam isu ini, di atas pelbagai alasan tidak munasabah.

“Kenapa dan bagaimana mereka sekarang membuat keputusan untuk mengadakan perhimpunan ini agak menghairankan dan tidak konsisten dengan kenyataan dan juga pendirian kerajaan di Parlimen baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Walaupun perhimpunan itu secara prinsipnya baik, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, beliau tidak melihat kerajaan bertegas dalam isu itu.

“Buktinya, usul di bawah 19 (a) yang dibawanya dalam Dewan Rakyat pada 24 November lalu untuk membahaskan mengenai pembunuhan orang Islam di Myanmar ditolak Speaker Dewan Rakyat atas alasan mencampuri hal negara orang lain.

“Apa dikesalkan, tiada seorang pun ahli Parlimen Pas dan BN yang beragama Islam bangun menunjukkan pendirian tegas bagi bersama-sama menentang kekejaman terhadap Rohingya,” katanya.

Beliau berkata, agak munasabah jika perhimpunan tersebut dibuat pembangkang tetapi sebagai sebuah kerajaan, Umno dan BN sudah tentu mempunyai kuasa menyuarakan pendirian secara rasmi di Parlimen.

“Kalau permintaan (mengadakan Sidang Dewan Rakyat Khas) tidak dihiraukan, maka rakyat akan membuat kesimpulan bahawa demonstrasi ini sebenarnya bukan bertujuan membantu Rohingya tetapi sekadar membantu Umno dan Pas mengaut sokongan politik masyarakat Melayu,” katanya.

Beliau berkata, ketegasan kerajaan juga turut dipertikai apabila cadangan supaya pasukan bola sepak negara menarik diri dalam Kejohanan Bola Sepak AFF Suzuki juga turut ditolak oleh Kabinet sebelum ini

Beliau turut mempersoalkan sama ada himpunan berkenaan dibuat kerana kerajaan baru sedar apabila melihat rakyat menunjukkan kemarahan dalam demonstrasi selepas selesai solat Jumaat pada 25 November lalu.

Jelasnya, pendirian Malaysia seolah-olah sangat lemah dalam menyuarakan isu-isu kekejaman di peringkat antarabangsa.

“Kenapa kita lemah sangat seolah-olah tiada tulang belakang dan kita seolah-olah mendahulukan yang ‘sunat’ (mengadakan himpunan) sedangkan yang ‘wajib’ (pendirian rasmi) tidak buat. Pas dilihat ikut Umno juga,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");