Berita Hari Ini

Lima dekad gagah menabur bakti

Kuala Lumpur: “Dengan umur 50 tahun, saya mahu Felcra Berhad (FELCRA) mengorak langkah dengan memberikan perhatian kepada tiga perkara utama yang akan menguntungkan peserta dan peneroka,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu FELCRA menjadi peneraju industri keselamatan makanan demi kepentingan pembekalan makanan halal negara.

Beliau berkata, senario peningkatan import bahan makanan melebihi RM45.4 bilion menuntut syarikat pemilikan kerajaan (GLC) berkenaan menjadi peneraju industri itu.

“Disebabkan itu, kerajaan mahu FELCRA menjadi satu daripada pengeluar utama industri bekalan keselamatan makanan negara dengan antara lain bersaing dalam pengeluaran ayam dan daging halal.

“Kekuatan agensi itu dapat memberi sumbangan ketara dalam mengurangkan import hasil makanan secara lebih efisien dan sistematik,” kata beliau ketika merasmikan sambutan 50 Tahun FELCRA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Perkara kedua, Najib berkata, dalam usaha menggalakkan peserta FELCRA berniaga atau mengembangkan perniagaan mereka, kerajaan melalui FELCRA akan menyediakan dana tambahan RM5 juta untuk Tabung Pinjaman Projek Ekonomi mulai tahun hadapan.

Kata beliau, tabung itu dimulakan pada 2009 dengan dana RM6 juta bagi menyokong pembentukan komuniti usahawan dalam kalangan peserta dan generasi kedua.

“Sehingga kini 1,100 usahawan dibantu dengan jumlah pinjaman RM12.5 juta dalam pelbagai sektor keusahawanan seperti makanan, ternakan, akuakultur, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini jumlah tabungan yang ada adalah RM6.3 juta dan ia kekal bertahan kerana diurus tadbir dengan baik termasuk mendisiplinkan peminjam membayar balik pinjaman.

“Dengan penambahan RM5 juta menjadikannya RM11.3 juta yang akan memberi peluang lebih ramai usahawan peserta FELCRA,” kata beliau.

Perkara ketiga, Perdana Menteri berkata, dalam soal pembangunan modal insan menerusi pendidikan pula, FELCRA akan memberikan pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada kadar 20 peratus atau RM4,000 bagi setiap pelajar.

Kata beliau, 500 pelajar berpeluang menikmati bantuan itu setiap tahun dan bagi tempoh kerjasama berkenaan, 5,000 akan dibantu.

“Sebanyak RM20 juta diperuntukkan dalam tempoh 10 tahun dengan peruntukan RM2 juta setahun,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");