Berita Hari Ini

Menara Mains rasmi tahun depan

SEREMBAN: Bangunan Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dijadual akan dirasmikan tahun depan.

Pengerusi Mains, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perasmian bangunan yang menjadi mercu tanda bandar Seremban itu mengalami kelewatan berikutan berlaku beberapa penambahbaikan.

“Sebelum ini kita bercadang untuk merasmikan bangunan ini pada bulan sambutan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir Januari ini, tetapi tidak sempat kerana ada sedikit kelewatan penambahbaikan.

“Kita perlu siapkan semua dulu sebelum Tuanku datang melawat dan merasmikan bangunan menara ini. Anggaran kita, bangunan ini akan dirasmikan tahun depan. Alhamdulillah, bangunan ini sudah dimasuki penyewa dan kerja penambahbaikan sedang dilakukan.

“Kita jangkakan ia boleh guna sepenuhnya pada bulan Februari atau Mac,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) Projek Pembangunan Menara Mains kepada Menteri Besar di Menara Mains, di sini, petang kelmarin.

Hadir sama, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad; Setiausaha Mains, Kamal Amran Kamarudin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Selamat Paigo.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, beliau amat berpuas hati dengan pembinaan bangunan tersebut yang diyakini akan menjadi daya penarik pelancong ke bandar Seremban.

“Bangunan ini akan menjadi mercu tanda bandar Seremban, di mana lokasinya yang berhampiran taman tasik akan menarik kedatangan pelancong ke sini.

“Bangunan ini akan menempatkan Pejabat Agama Islam negeri, Jabatan Mufti, Pusat Zakat dan agensi Agama Islam yang lain. Orang luar juga boleh menyewa pejabat di sini dan kita hanya tinggal separuh tingkat yang masih kosong untuk disewa,” katanya.

Bangunan setinggi 18 tingkat yang menelan belanja sebanyak RM63.1 juta termasuk kos ubah suai itu turut menyediakan kemudahan lain; antaranya bilik seminar, dataran asnaf, surau, kedai, kafe dan menyediakan sebanyak 250 tempat letak kereta.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");