Sukan Hari Ini

Penyokong Tulang Belakang Melaka United – Lekir

MELAKA: Di sebalik kejayaan dilakar Melaka United dalam dua musim berturut-turut, penyokong setia pasukan Hang Tuah itu dilihat menjadi antara tulang belakang dan memainkan peranan penting dalam menjulang kemenangan itu.

Muncul juara Liga FAM 2015 dan merangkul gelaran Liga Premier tahun ini, gelaran itu sekali gus menamatkan kemarau trofi 33 tahun skuad Sang Kancil dalam saingan tertinggi bola sepak tempatan selain kembali menempatkan diri dalam Liga Super 2017.

Lebih manis, kesetiaan penyokong bersama pasukan kesayangan mengharungi Liga Malaysia berbaloi apabila turut menerima Anugerah Penyokong Terbaik pada Anugerah Bola sepak Kebangsaan 2016, baru-baru ini.

Bagi Lekir Ahmad selaku capo atau ketua yang memimpin Ultras Taming Sari (UTS), kejayaan yang diukir itu membuktikan Melaka United berjaya keluar daripada ‘zaman kegelapan’ selepas lima tahun berada di liga bawahan.

“Sokongan UTS terhadap Melaka United tidak pernah terhenti meskipun pasukan ini pernah berhadapan pelbagai cemuhan dan penghinaan ketika beraksi selama lima tahun dalam Liga FAM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada malam Khamis selepas tamat perlawanan persahabatan pramusim antara Melaka United menentang Johor Darul Ta’zim II di Stadium Hang Tuah di sini, menyaksikan keputusan seri 1-1.

Sepanjang 90 minit perlawanan, Lekir, 37, bersama kumpulannya terus bersemangat menyanyikan lagu beriringan dengan paluan dram serta kain rentang gergasi bagi memberi semangat kepada pemain Melaka United yang beraksi di padang.

Beliau yang mengetuai UTS dari 2011 berharap penyokong skuad hijau putih tidak berputus asa untuk terus menyokong di kala pasukan itu menang atau kalah dan terus setia bersama jatuh bangunnya pasukan Melaka United.

Dalam pada itu, Lekir berkata usaha pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) untuk melaksanakan langkah penswastaan kelab bola sepak negeri supaya lebih terurus dan efisien, adalah satu tindakan wajar dan tepat.

Katanya, keputusan MUSA bertukar kepada Melaka United Football Club (MUFC) pada tahun hadapan dilihat bakal memberi imej baharu dalam langkah penstrukturan semula pasukan bola sepak itu.

“Usaha ini dilihat amat baik untuk memastikan pasukan ini terus cemerlang pada saingan pentas liga tempatan dan antarabangsa dengan pengurusan bola sepak yang lebih efisien dan mampu memenuhi spesifikasi ditetapkan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)”, katanya yang juga merupakan capo bagi Ultras Malaya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");