Panasnya Hari Ini

Rakyat Malaysia Akan Tanggung Beban Puluhan Tahun

KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat negara ini akan menanggung beban selama puluhan tahun apabila projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dilaksanakan kelak.

Ujarnya, meskipun rancangan keretapi Pantai Timur adalah projek yang gilang dan gemilang, tetapi beban hutang yang ditanggung adalah sebaliknya.

“(Perdana Menteri) Najib telah isytihar pinjaman sebanyak RM55 bilion dari sebuah syarikat di masa lawatannya ke China untuk membangunkan landasan keretapi eletrik di Pantai Timur.

“Kerajaan Najib telah pun pinjam RM42 bilion untuk 1MDB. Kerana tidak membayar faedah dan pokok, hutang ini meningkat kepada lebih RM53 bilion.

“Tidak ternampak sedikit pun pelaburan yang memberi keuntungan yang boleh diguna untuk bayar hutang. Sudah tentu jika tidak dibayar faedah hutang ini akan meningkat lagi,”katanya menerusi catatan di blog beliau, hari ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut berkata lagi, Najib juga perlu berhutang sekitar RM50 bilion untuk membina keretapi berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur ke Singapura.

Dr Mahathir berkata lagi, sekiranya benar kos landasan Pantai Timur itu ialah RM55 bilion, yang akan dapat keuntungan ialah kontraktor asing yang akan membangunkan projek tersebut.

“Kos semua ini akan diperolehi hampir semuanya oleh kontraktor luar negeri. Jadi wang yang dipinjam dari syarikat negara China akan kembali ke sana.

“Di masa yang sama, bayaran hutang sebanyak RM55bilion dengan faedah akan kembali ke negara itu juga. Mungkin pembayaran akan ambil masa 30 tahun atau lebih,”jelas beliau.

Mengulas lanjut, sepatutnya bayaran balik hutang, kontrak, alatan untuk landasasn dan gerabak eletrik datang dari keuntungan operasi keretapi pantai timur.

“Bolehkah kita dapat cukup pendapatan menjual tiket keretapi atau muatan barangan antara pantai barat dengan pantai timur?

“Jika tiket keretapi Pantai Timur dijual dengan harga yang tinggi, mungkin ramai yang akan pilih penerbangan. Jika harga tiket rendah, keuntungan mungkin tidak diperolehi.

“Jadi hutang dan kos serta kerugian perlu ditanggung oleh kerajaan dari dana campuran,”katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, kerajaan pada hari ini tidak mempunyai wang apabila nilai Ringgit jatuh yang memerlukan lebih banyak Ringgit untuk membayar hutang dengan Dolar Amerika atau Yuan.

“Dari manakah duit ini akan datang? Hutang lagi atau naikkan cukai dalam negeri dan GST?,”soalnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");