Jenayah

Rampas ganja RM522,000

Alor Setar: Polis merampas 174 ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM522,000 dari kenderaan pacuan empat roda yang terbabas di Lebuhraya Kuala Perlis-Changloon dekat Titi Kerbau, selepas dikejar kereta peronda polis, semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian 7.30 malam itu dua anggota MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau yang melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Kampung Rambai, Guar Nangka, Arau, menahan kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran Thailand itu yang dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika seorang anggota polis memeriksa di ruang simpanan belakang, berlaku pergelutan antara rakannya dengan pemandu disyaki pengedar dadah itu.

“Anggota terbabit cuba membantu rakannya, namun pemandu itu dapat melarikan diri selepas menghidupkan enjin dipercayai menggunakan kunci pendua.

“Suspek turut melepaskan tembakan rambang dengan pistol ke arah polis dan dibalas anggota polis yang mengenai tayar hadapan dan belakang kenderaan dinaikinya,” katanya.

Menurut sumber, anggota peronda kemudian mengejar kenderaan suspek dan menghubungi bilik gerakan Arau serta meminta bantuan polis Kedah kerana kenderaan suspek menghala ke Changloon, Kedah.

“Kira-kira 30 minit dikejar kenderaan suspek terbabas ke kiri jalan selepas melepasi lampu isyarat di Kampung Titi Kerbau, namun suspek berjaya melarikan diri ke kawasan kebun getah berhampiran.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan saspek, menjumpai 174 ketulan ganja mampat di bahagian dalam ‘bucket’ belakang kenderaan yang diubah suai serta di sekitar lokasi kejadian,” katanya.

Kata sumber, barang kes dibawa ke Balai Polis Arau untuk tindakkan lanjut dan difahamkan Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Nanda Maarof akan mengadakan sidang media berkaitan petang ini.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");