Berita Hari Ini

Tenaga kerja profesional diperlukan

IPOH – Sektor industri negara khususnya bagi industri pembinaan, memerlukan ramai tenaga kerja daripada kalangan graduan institusi pengajian tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Fakulti Politeknik Ungku Omar (PUO),Tan Sri Datuk Sri Sufri Mohd Zain berkata, permintaan itu selaras dengan kehendak serta perkembangan pesat industri pembinaan hari ini.

Malah menurutnya, negara memerlukan tenaga kerja profesional dalam bidang berkenaan demi merealisasikan hasrat kerajaan membangunkan negara pada masa hadapan.

“Politeknik ini telah banyak melahirkan graduan dalam bidang industri. Sekali gus, ia akan membantu meningkatkan lagi pertumbuhan industri di negara ini.

“Justeru, sebagai ketua terutamanya daripada segi pembelajaran, kita sangat mengalu-alukan kerjasama daripada pihak-pihak lain asalkan ia mengikut kehendak industri,” katanya kepada Sinar Harian.

Sufri berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran Conference Of Sustainable Cities (CSC) ‘16 anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam di Dewan Jubli Perak PUO, baru-baru ini.

Selain menggalakkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi, persidangan yang bertemakan Bandar Lestari itu juga secara keseluruhannya bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai ilmu teknologi hijau kepada warga PUO.

Sempena persidangan berkenaan, beberapa pameran dan pembentangan projek akhir oleh pelajar semester akhir BCT 8 terutamanya bagi projek yang dihasilkan ketika Work Base Learning (WBL), di industri selama dua semester.

Selain itu, pelajar BCT 6 pula bakal membentangkan hasil dapatan daripada kajian kes bagi kursus Traffic and Sustainable Transportation iaitu Intergrated Transportation System dalam aspek peningkatan pembangunan bandar lestari.

Difahamkan kedua-dua pembentangan berkenaan kemudiannya bakal dinilai oleh beberapa pensyarah daripada universiti dan pengamal industri yang dijemput sebagai juri sempena persidangan berkenaan.

Sementara itu Timbalan Pengarah (Akademik) PUO, Mohammad Zubir Mohamad Hanifah berkata, PUO akan sentisa menyokong apa sahaja isu terutamanya yang berkaitan dengan ilmu dan teknologi demi kepentingan pelajarnya.

Malah katanya, golongan berkenaan (pelajar), dilihat sebagai generasi yang akan terus menyokong sektor industri pada masa hadapan.

“Sokongan berkenaan adalah selaras dengan misi serta visi Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia yang mahu bersama dengan industri.

“Oleh itu, tidak keterlaluan kalau dikatakan PUO telah mendokong visi dan misi berkenaan,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");