Isu Panas

Umno takut hilang undi orang Melayu

ALOR SETAR – Umno didakwa sengaja memainkan isu perkauman kerana khuatir parti itu tidak mendapat kepercayaan dan sokongan lagi daripada majoriti orang Melayu pada PRU14 nanti.

Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, tindakan itu adalah keterlaluan dan cuba menghasut rakyat supaya tidak mengundi DAP dengan alasan kononnya hak dan keistimewaan orang Melayu akan dihapuskan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) cuba menakutkan, mengeliru dan menghasut rakyat bahawa DAP adalah musuh terbesar dalam negara semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 baru-baru ini.

“Dikatakan kalau pilih DAP, maksudnya hak-hak dan keistimewaan orang Melayu akan dihapuskan. Bukankah ini menghasut? Sebenarnya kalau kita dengar mesej Najib, dia bukan ambil kisah tentang orang Cina pun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan semasa forum cerdas rakyat anjuran PKR Alor Setar di Dewan Kang Har Tong, Kampung Berjaya, di sini, kelmarin.

Menurutnya, Najib sedia maklum bahawa orang Cina sendiri sudah hilang keyakinan terhadap BN, MCA dan Gerakan. Malah ramai pengundi India juga tidak menyokong lagi MIC.

“Tetapi apa yang paling dia takut adalah sekiranya orang Melayu hilang keyakinan kepada Umno dan BN. Sebab itu dia menggunakan perkauman untuk menakutkan orang Melayu.

“Kalaulah orang Melayu, dia nak serang pun mungkin PKR, Amanah dan Parti Bersatu. Kalau rakyat sokong pembangkang, maksudnya sokong DAP. Itulah niat mereka di sebaliknya. Tetapi sangat penting untuk kita memperbetulkan pandangan penipu ini,” katanya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut menegaskan bahawa DAP bukanlah parti anti Islam dan anti Melayu seperti yang didakwa Umno dan BN.

“Ini semua rekaan dan pembohongan. Saya sendiri pun baru dapat tahu apabila insiden Memali berlaku pada 1985, DAP lah parti pertama yang membangkitkan isu ini.

“Saya pun baru dapat tahu, dulu bapa saya adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera. Sehari selepas kejadian Memali, beliau telah pun menggerakkan satu usul tergempar di Parlimen untuk menyoal kerajaan tentang insiden Memali,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");