Membawang Hari Ini

Zulin serasi di konti radio

SETELAH lima bulan bergelar penyampai radio di Suria FM, Farah Azleenda Abd Aziz atau lebih dikenali sebagai Zulin Aziz mengakui kini semakin selesa berada di konti radio.

Meskipun pada awalnya dia menerima pelbagai kritikan, pelakon dan juga pelawak yang bakatnya dicungkil daripada program realiti Pilih Kasih (musim pertama) ini sentiasa positif dan cuba memperbaiki kekurangan diri.

“Alhamdulillah, sekarang saya sudah dapat membiasakan diri dengan tugasan di konti dan sentiasa cuba meningkatkan kemahiran sebaik mungkin ketika menjalankan tugas.

“Saya bermula dengan kosong dalam bidang ini, namun dengan perkongsian ilmu rakan setugas terutamanya abang Halim Othman menjadikan saya positif dan yakin untuk bersama pendengar di udara.

“Pada awal bertugas, saya cuba membuat perbandingan dengan penyampai kegemaran mereka, tetapi selepas beberapa bulan, pendengar sudah dapat menerima cara saya,” ujarnya yang mengendalikan segmen Ceria Pagi di Suria bersama Halim Othman dan Fizi Ali.

Menurut Zulin, dia kini semakin serasi bekerja di radio dan mula seronok dengan rutin seharian yang dilaluinya.

“Bila sudah ada pendengar sendiri, saya mula serasi berada di konti, apatah lagi saya memang seorang yang suka bercakap dan berkongsi apa sahaja cerita.

“Malah saya akui pengetahuan juga semakin luas sejak bergelar penyampai kerana perlu mengambil tahu segala perkembangan semasa baik dari dalam mahupun luar negara untuk dikongsi bersama.

Justeru, kata Zulin, dia kini lebih banyak membaca dan dapat rasakan diri jauh lebih baik daripada sebelumnya di mana pengetahuan hanya terhad kepada situasi yang berlaku di sekitarnya.

Tolak tawaran

Disebabkan sibuk dengan tugasannya sebagai penyampai radio, Zulin mengakui tidak dapat memenuhi tawaran berlakon yang datang. Pun begitu, dia tidak menafikan sangat merindui rutinnya sebagai pelakon di set penggambaran.

“Memang saya terpaksa lepaskan banyak tawaran kerana jadual penggambaran bertembung dengan tugasan di konti radio yang sememangnya tidak dapat dielakkan.

“Kalau saya dapat buat pun mungkin hanya untuk watak kecil yang tidak mengambil masa yang sama di lokasi penggambaran.

“Filem terbaru saya, Bopeng yang bakal ditayangkan nanti juga sebenarnya menjalani penggambaran lebih dua tahun lalu iaitu ketika saya belum lagi bergelar penyampai radio,” jelasnya.

Begitu pun kata Zulin, kepada peminat yang rindukan kemunculannya masih boleh mengikuti video komedi termasuk parodi yang dimuat naik di laman Youtube.

“Semenjak dari dulu lagi saya memang suka berkongsi video komedi di laman Youtube sekadar untuk hiburan diri sendiri dan mereka yang suka untuk menonton.

“Hobi yang satu ini sukar saya tinggalkan kerana saya memang suka buat pelbagai video dan berkongsi dengan peminat.

“Saya sendiri tidak menyangka ramai peminat yang sukakan video tersebut, malah kalau boleh saya katakan peminat yang mengikuti saya di situ lebih ramai daripada mereka yang mengikuti perkembangan saya di kaca TV,” ujarnya yang cukup terkenal dengan pelbagai video parodi kreatifnya.

Menyentuh tentang azam dan perancangan untuk tahun 2017, kata Zulin, dia mahu berusaha lebih keras untuk menurunkan berat badannya selain mengharapkan bertemu jodoh.

“Walaupun bunyi macam lucu, tetapi saya memang mahu menurunkan berat badan dan kalau boleh mahu mencapai berat badan yang ideal serta sesuai untuk kemunculan di TV.

Katanya, sejak September lalu, dia mula melakukan aktiviti Muay Thai dan berjaya turunkan berat badan sebanyak 10 kilogram dan akan terus menyasarkan lebih banyak lagi tahun depan.

“Kalau diizinkan Tuhan juga, mudah-mudahan bertemu jodoh pada tahun depan walaupun saya sendiri pun tidak begitu pasti dengan calonnya lagi,” ucapnya dalam seloroh.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");