Membawang Hari Ini

Eksperimental ska reggae

Sejak 1980-an hingga 1990-an dan era millenium, banyak band reggae dan ska muncul terutama secara underground. Antaranya Nonama, Republic Of Brickfields, Plague of Happines, Gerhana Ska Cinta, Skudap Skudip, Salam Musik, Pure Vibration, Sharpshooter dan banyak lagi.

Wakakukz yang ditubuhkan di Bangi, Selangor pada 2012 dilihat sebagai penyambung legasi muzik reggae dan ska tempatan.

Tidak seperti band lain, Wakakukz yang dianggotai Bobz (penyanyi), Alis (gitar), Ijoi (gitar), Koboi (bass) dan Idham (dram) tampil berbeza dari segi gubahan muzik. Menggelar muzik mereka sebagai eksperimental ska reggae, Wakakukz dilihat berbeza dan menarik dari segi permainan muzik yang turut dicampurkan dengan elemen rock, dubstep, samba dan termasuk juga joget.

“Asas muzik kami adalah reggae dan ska. Kami suka bereksperimen dengan muzik lain bagi menjadikannya lebih menarik dan ada kelainan,” kata Bobz.

Bagaimanapun, bagi sesiapa yang pertama kali mendengar nama band ini, pertanyaan pertama pastinya mengenai namanya. Apa itu Wakakukz?

Menurut Bobz, Wakakukz tidak membawa maksud apa-apa. Ia hanyalah bunyian yang terhasil daripada ‘strumming’ gitar menggunakan efek pedal ‘wah wah’ ketika memainkan muzik reggae.

“Ia kena dengan muzik kami. Sebelum ini Wakakukz dikenali dengan nama Twozhe dan kami kerap memainkan lagu ‘cover’ popular,” katanya, lapor Harian Metro.

Selain Bob Marley, Wakakukz turut menjadikan band reggae seperti Soja, Danakil dan Rebelution sebagai inspirasi mereka.

Kini, Wakakukz sudah memiliki lagu sendiri lengkap dengan video muzik antaranya Tak Peduli, Semua Tak Betul, Sudah-Sudahlah, Kenali Dirimu dan juga lagu raya berjudul Gendang Gendut Aidilfitri.

Menurut Bobz, dia menghasilkan melodi dan lirik lagu mereka, manakala Idham dan Alis menggubahnya.

“Lirik yang saya hasilkan banyak mengenai apa yang berlaku di sekeliling kami. Saya mahu orang berfikir sekejap kerana ada maksud tersirat dalam lirik itu,” katanya.

Bobz berkata, sebelum mencipta lagu sendiri, Wakakukz bermula dengan memainkan merakam semula (cover) lagu popular, tetapi digubah dalam genre reggae dan ska.

Antaranya lagu Pokok nyanyian asal Meet Uncle Hussain, Sayang (Shae), Kosong (Najwa Latif) dan Muara Hati (Datuk Siti Nurhaliza & Hafiz Suip).

Menurut Bobz, mereka sebenarnya bermula dengan suka-suka. Pada 2012, mereka kerap ‘jamming’ di studio milik Idham dan pemain dram itu akhirnya mencadangkan mereka memainkan lagu popular orang lain yang diubah kepada muzik reggae.

“Kami bermula dengan lagu Pokok. Selain menggubah kembali muziknya, kami merakamnya termasuk menghasilkan video muzik. Apabila dimuat naik di YouTube, responsnya bagus. Selepas itu kami buat lagi dan rakam semula lagu Shae iaitu Sayang,” katanya.

Bobz berkata, tujuan mereka merakam semula lagu popular itu ialah bagi menarik peminat muzik ‘mainstream’ turut meminati Wakakukz.

Buang tanggapan negatif terhadap reggae

Reggae sering dikaitkan dengan perkara negatif. Pengambilan ganja dan ‘stoned’ atau khayal dikatakan cukup dekat dengan muzik berasal dari Jamaica itu.

Bagaimanapun, Wakakukz enggan dilabel begitu dan mahu menyebarkan aura positif menerusi muzik berkenaan.

“Kami bukan seperti itu. Wakakukz menghasilkan muzik dan lagu yang positif. Reggae bukanlah muzik khayal, tetapi ia membawa mesej keamanan, harmoni dan cinta,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan Wakakukz, Bobz berkata, mereka mahu terus menghasilkan lagu baru. Single terbaru mereka ialah Kenali Dirimu yang dikeluarkan pada Disember lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");