Sukan Hari Ini

Gol Pertama Buat Uganda, Selepas 39 tahun

GABON: Uganda akhirnya berjaya meledak gol pertama pasukan itu dalam saingan Piala Negara Negara Afrika dalam tempoh 39 tahun.

Bagaimanapun tetap tersingkir daripada kejohanan itu selepas sekadar seri 1-1 melawan Mali pada aksi dalam padang digenangi air, semalam.

Uganda yang kali terakhir beraksi dalam saingan itu pada 1978 sudah pun tersingkir sebelum sepak mula dan keputusan seri itu juga menamatkan harapan Mali untuk mara selepas Mesir dan Ghana mengesahkan tempat ke peringkat seterusnya.

Kedua-dua pasukan gagal meledak sebarang gol dalam dua perlawanan pertama masing-masing.

Memetik laporan Reuters, sepanjang 70 minit pertama, Uganda dan Mali memperagakan aksi membosankan sebelum dua jaringan jarak jauh dalam tempoh empat minit kembali menghidupkan suasana perlawanan.

Malah Uganda mendahului perlawanan apabila Farouk Miya mengutip bola daripada luar kawasan penalti dan meledak jaringan ke penjuru gol Mali.

Mali yang juga mengorak langkah ke separuh akhir sebanyak lima kali bangkit dengan pemain berusia 20 tahun, Yves Bissouma meledak menerusi sepakan percuma dari jarak 30 meter menewaskan Robert Odongkara yang sekadar berdiri melihat jaringan itu menerjah gawangnya.

Perlawanan berlangsung dalam keadaan kurang baik selepas hujan lebat menyebabkan permukaan padang di stadium Stade d’Oyem yang baru dibina itu digenangi air.

Situasi ini menyaksikan beberapa peluang yang dicipta kedua-dua pasukan gagal disudahkan dengan baik akibat bola tersangkut akibat permukaan padang yang terlalu basah.

Mesir mengungguli Kumpulan D dengan tujuh mata selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Ghana sementara Black Stars terpaksa berpuas hati selaku naib kumpulan dengan enam mata.

Mali sekadar mengutip dua mata sementara Uganda meraih satu mata.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");