Jenayah

Kilang palet plastik terbakar

SABAK BERNAM: Sebahagian daripada sebuah kilang membuat palet plastik di Jalan Kabalakan, di sini, musnah dalam satu kebakaran kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Difahamkan ketika ini, sekurang-kurangnya 20 peratus daripada bahagian depan kawasan kilang seluas 6,000 meter persegi itu terjejas dalam kebakaran.

Penolong Pengarah Operasi Jambatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan pada jam 7.06 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Sungai Besar, Sekinchan dan Hutan Melintang dikerah ke lokasi.

“Ketika ini kebakaran masih belum dipadamkan namun tiada mangsa dilaporkan berada di dalam bangunan yang terbakar,” katanya.

Sementara itu, juruteknik kilang berkenaan, Mohd Hishamudin Sarman, 33, berkata, dia menyedari kebakaran itu ketika sedang meronda di dalam kilang kira-kira jam 6.30 pagi apabila ternampak percikan api dari wayar elektrik di bahagian bumbung kilang dan percikan api itu kena mengenai mesin serta palet di lantai.

“Saya cuba memadamkan kebakaran itu dengan mengguna pili air kebakaran yang terdapat di kilang namun ia terus merebak dengan pantas,” katanya.

Mohd Hishamudin berkata, beliau kemudian meminta pengawal keselamatan bertugas, Adnan Jamal, 47, untuk menelefon balai Bomba dan Penyelamat serta memastikan tiada pekerja berada di dalam bangunan kilang itu.

Beliau berkata, kilang berkenaan tidak beroperasi selama tiga hari hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan hanya beliau serta Adnan ditugaskan untuk memastikan keselamatan kilang, namun tidak menyangka perkara itu berlaku.

“Saya amat cemas dan takut ketika itu namun untuk menyelamatkan kilang saya cuba sedaya upaya memadamkan kebakaran pada peringkat awal namun tidak berjaya berikutan kebakaran di bahagian bumbung,” katanya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");