Jenayah

Lambaian terakhir Icha

Kuantan: Bayi berusia 20 bulan yang lemas selepas terjatuh dalam air banjir lewat petang semalam beberapa kali merengek untuk bermain air sambil menarik tangan ayahnya, Muhammad Firdaus Sazali, 24, pada hari kejadian.

Selepas rengekannya tidak diendahkan, Siti Nurdarwisyah seakan merajuk sebelum masuk ke dalam bilik dan menyusu bersama ibunya.

Muhammad Firdaus berkata, dia menyedari kehilangan anak tunggalnya itu ketika azan Maghrib dan mencarinya di pelusuk rumah namun tidak menemuinya.

“Ketika itu saya sudah berasa tidak sedap hati dan berfikir kemungkinan Icha (nama panggilan) keluar dan bermain air. Saya terus keluar dan sebaik menuruni tangga rumah saya terpijak ‘goggle’ miliknya dan ketika itu jantung saya berdegup kencang.

“Saya terus terjun ke dalam air dan mencarinya namun tidak menemui Icha sebelum meminta bantuan jiran selepas beberapa minit mencari akhirnya seorang jiran menemui Icha tersangkut di celah pokok kira-kira satu meter dari rumah,” katanya.

Dalam kejadian 7.22 petang, mangsa, ditemui dalam keadaan lemah selepas tersangkut di celah pokok di dalam air banjir kira-kira satu meter dari rumahnya.

Katanya, ketika dibawa naik ke beranda, Icha masih bernyawa dan dia membuat bantuan pernafasan terhadapnya dan terus bergegas membawanya ke hospital.

“Dalam perjalanan ke hospital badan Icha sudah mula sejuk sebelum doktor mengesahkan Icha sudah tiada kira-kira 45 minit menerima rawatan.

Katanya, kawasan rumahnya itu dilanda banjir sejak beberapa hari lalu namun mereka tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara memandangkan air tidak memasuki rumah.

Jenazah Siti Nurdarwisyah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Panching Utara jam 10 pagi tadi.

Muhammad Firdaus berkata, dia masih terbayang lambaian serta ucapan ‘bye, bye’ yang dituturkan ketika anaknya menaiki perahu bersama adik iparnya dua hari lalu.

“Aksinya itu sempat dirakam oleh ibu mentua saya menerusi telefon bimbit dan saya tidak menyangka itu lambaian terakhir Icha.

“Bila melihat rakaman video itu hati saya menjadi sayu,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");