Jenayah

Macam Kassim Baba daa…

Sungai Petani: Tindakan lima lelaki memecah masuk sebuah stor di tapak pembinaan di Jalan Pinang Tunggal, di sini, untuk mencuri pelbagai barangan binaan membawa padah apabila empat daripadanya dicekup polis, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, penjaga stor yang datang untuk membuat pemeriksaan terkejut melihat mangga pintu masuk utama dipotong sebelum melihat sebuah lori dan kereta Proton Waja serta beberapa lelaki berada di dalam stor.

Dia kemudian terus menghubungi polis sebelum sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bergegas ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, ketika memasuki stor itu, semua suspek tidak menyedari kehadiran polis dan mereka memindahkan barangan itu ke dalam lori dan kereta.

Menurutnya, polis kemudian menjerit memperkenalkan diri menyebabkan mereka terkejut dan terus melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dan empat daripada suspek berusia 38 hingga 45 tahun diberkas manakala seorang lagi melarikan diri.

“Hasil ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis syabu dan dua daripada mereka memiliki 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Siasatan juga mendapati kereta Proton Waja itu dilaporkan hilang di Taiping, Perak pada 20 Disember lalu,” katanya.

Md Zukir berkata, pihaknya turut menemui pelbagai barangan termasuk senjata dan juga dua paket syabu seberat 2.78 gram padasuspek.

“Antara barangan yang dirampas dua kuku kambing, dua mercun, tiga pisau lipat, satu gunting, satu batang pemutar skru dan alat pemotong.

“Kita turut menemui satu gulung kabel hitam, satu kotak mengandungi 10 unit botol cecair warna kuning dan lapan kotak seramik bertulis,” katanya sambil menambah siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 kanun keseksaan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");