Perak Hari Ini

Penganggur Pecah Rumah Ditahan

IPOH: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kes pecah rumah di Taman Ipoh Timur, Bercham, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, polis telah menerima satu panggilan daripada seorang wanita yang menyatakan bahawa beliau terlihat penjenayah memasuki rumah jirannya.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis telah pergi ke alamat tersebut dan berjaya melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki berumur lingkungan 36 tahun kira-kira 100 meter daripada rumah berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu telah masuk ke rumah tersebut melalui bumbung dan keluar melalui bahagian tingkap sebelum melarikan diri,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ujarnya, pemeriksaan yang dilakukan terhadap suspek juga telah menemui dua buah beg, sebuah komputer riba, dua buah telefon bimbit, wang tunai RM170 dan wang mata asing.

“Polis turut merampas pelayar, sebilah pisau boleh laras dan lampu suluh yang dipercayai menjadi alat yang digunakan ketika pecah rumah,” katanya lagi.

Beliau berkata, suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau yang mana satu daripadanya di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, manakala empat lagi melibatkan dadah.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis heroin.

“Suspek telah direman selama empat hari bermula hari ini (3 Januari) sehingga 6 Januari 2017 dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");