Berita Hari Ini

Span dijangka laksana bil ‘2 dalam 1’

DEMI mengatasi masalah tunggakan bil pembetungan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dijangka melaksanakan pembayaran bil “2 dalam 1”, iaitu caj bekalan air dan pembetungan dimasukkan ke dalam satu bil yang sama.

Ini bermakna semua pengguna dimestikan bayar bil pembetungan untuk mengelakkan bekalan air dipotong.

Menurut Pengerusi Span, Datuk Liang Teck Meng, penguatkuasaan sebelum ini dilaksanakan di Labuan, sejak March tahun lalu dan membuahkan hasil apabila pembayaran bil pembetungan meningkat daripada 50 peratus kepada 90 peratus ke atas.

“Langkah memasukkan caj pembetungan dan bekalan air ke dalam satu bil yang sama telah dilaksanakan di beberapa buah negara seperti di Singapura, New Zealand dan Australia.

“Di negara kita, ramai orang masih tidak tahu betapa pentingnya perkhidmatan pembetungan, menyebabkan hanya 50 peratus pengguna yang sedia membuat pembayaran kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK),” katanya ketika ditemu ramah Oriental Daily.

Menurut Teck Meng, apabila ramai pengguna tidak mahu membayar caj pembetungan ini, sudah tentu membebankan IWK sehingga menjejaskan operasi perkhidmatan dan rawatan air yang dilakukan syarikat kumbahan itu.

“Caj RM8.00 yang dikenakan terhadap pengguna setiap bulan masih dianggap murah.

“Malahan bagi rumah-rumah di kawasan kampung, caj yang dikenakan hanyalah antara RM2.00 hingga RM3.00 sebulan.

“Namun demikian, kesedaran rakyat mengenai perkhidmatan rawatan air ini masih kurang. Sekiranya langkah rawatan air ini tidak dilakukan dengan baik, ia akan mencemarkan sumber bekalan air. Dan ketika itulah terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk melakukan pembersihan air yang tercemar,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Datuk Ir Abdul Kadir Mohd Din, tunggakan bil pembetungan melibatkan pelanggan domestik sejak 1994 sehingga Oktober tahun lalu telah mencecah RM450 juta kerana masih ramai bersikap sambil lewa dan enggan melunaskan bil berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");