Membawang Hari Ini

Ana Raffali Kini Seorang Pendidik

Penyanyi Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali, 32, seakan-akan tidak kedengaran dalam industri hiburan tanah air selepas berkahwin dan dikurniakan cahaya mata, Aaydeen Oumar, yang kini berusia dua tahun.

Ana yang memiliki ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua(TESL) dari Universiti Teknolog MARA (UiTM) Shah Alam, ketika ditemui Harian Metro berasakan sudah sampai masanya dia menggunakan ilmu untuk menabur bakti mendidik anak bangsa pula.

Ana menjelaskan, dirinya kini menjadi guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Cheras, Selangor, hampir setahun lalu.

“Sekarang saya berehat daripada menulis lagu dan menyanyi kerana antara impian adalah untuk menjadi guru. Saya mendapat ijazah kelas pertama, jadi sayang jika tidak menggunakan ilmu yang dipelajari itu malah ibu bapa sangat berharap melihat saya menjadi pendidik. Bapa seorang saintis dan dia mahu lihat saya berjaya dalam dunia pendidikan.

“Sebenarnya nak kata saya berehat sepenuhnya daripada dunia seni tidak juga kerana ada cipta lagu dan lirik untuk syarikat korporat. Terbaru saya hasilkan lagu untuk Pelancongan Malaysia mempromosikan rumah inap desa atau ‘homestay’. Kali terakhir saya cipta lagu komersial pada 2013.

“Masih ada juga pihak yang menjemput saya membuat persembahan. Oleh kerana saya bergerak bebas tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman atau pengurusan, penganjur akan menghubungi saya terus. Saya juga seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah RPMB (Recording Performers Malaysia Berhad) yang memastikan setiap artis dan pemuzik dapat hak mereka dari segi royalti,” katanya.

Imbas semula pembabitannya dalam arena seni suara, menurut pemilik nama sebenar Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, dia belajar bermain gitar ketika menyambung pengajiannya di UiTM dan ketika itu dia rasa sukar untuk ‘memainkan’ lagu orang lain, lantas dia cipta lagu sendiri sehingga lagu Tolong Ingatkan Aku menang pada Anugerah Juara Lagu ke-25.

“Waktu kecil dulu saya bercita-cita mahu jadi saintis seperti bapa dan tidak terfikir langsung menjadi pemuzik. Bagaimanapun, pembabitan saya dalam industri hiburan negara tanpa sengaja itu mendedahkan saya kepada banyak benda baru dan pengalaman itu amat berguna sekarang apabila mengajar. Alhamdulillah, perjalanan hidup saya tersusun dan rasa mengejar setiap impian yang ada.

“Selepas dua tahun berjaya menjadi penyanyi, saya beralih kepada bidang pendidikan dan berharap dapat menjadi guru terbaik kepada pelajar. Apabila mengajar, secara tidak langsung saya sendiri banyak belajar. Saya berhasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana atau doktor falsafah (PhD) terus berdasarkan keputusan cemerlang yang diperoleh pada peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.

Bagaimanapun, Ana mahu mencari pengalaman dulu kerana dia baru saja mengajar dan bercadang menyambung pengajian di luar negara.

“Saya kena cari univesiti dan pensyarah yang boleh ‘guide’ saya agar mudah untuk mencari dan menyiapkan bahan kajian. Saya berminat membuat kajian neurosains dalam pendidiikan kerana setahu saya di negara ini tidak ramai yang mengambil bidang itu. Buat masa ini, universiti tempatan tiada yang menawarkan bidang pengajian itu.

“Neurosains adalah hubungan cara kita belajar dengan fungsi otak untuk memudahkan belajar. Bidang itu menjurus ke arah sains yang sememangnya menjadi minat saya sejak kecil,” katanya.

Ujar Ana, pelajarnya tahu dia seorang penyanyi dan selalu memintanya menyanyi.

“Sambil bergurau dengan mereka, saya kata kalau nak dengar saya menyanyi kenalah beli album saya dulu. Mereka ‘follow’ saya di Instagram. Apabila saya menjadi guru, rasa nak berkongsi ilmu dengan pelajar itu amat mendalam dan baru tahu betapa istimewanya seorang guru dalam diri pelajar.

“Waktu kita sekolah dulu pun, mesti ada guru yang kita suka dan yang kita benci. Jadi saya mahu jadi guru yang disukai dan disenangi pelajar,” katanya.

Menurut Ana lagi, kebanyakan masanya sekarang dihabiskan dengan membaca.

“Apabila tidak lagi berada dalam arus perdana dunia hiburan, hidup saya tenang tanpa terpalit gosip atau kontroversi. Saya sedar, sama ada cerita itu buruk atau baik ia tetap memberi impak kepada kerjaya seni artis.

“Saya masih mengikuti perkembangan dunia hiburan dan dengan adanya pelbagai medium di laman sosial, terasa peminat lebih dekat kerana boleh berinteraksi setiap masa serta masih terasa kehadiran dalam industri,” katanya.

Ana juga berkongsi pengalaman membesarkan Aaydeen yang amat petah bercakap, sangat cerdik dan sudah boleh menghafal semua huruf.

Kata Ana, dia dan suaminya, selalu mengajar Aayden membaca serta bermain dengannya. Si kecil itu juga sudah menunjukkan minat pada muzik tetapi Aaydeen lebih suka bermain dram daripada gitar.

“Bagi saya dan suami, kami tiada halangan jika Aaydeen mahu jadi pemuzik. Apa saja impian dan cita-cita anak, kita patut sokong kerana itulah perjalanan hidup mereka. Ada terfikir nak keluarkan single baru tetapi Aaydeen masih perlukan perhatian dan saya juga tidak boleh mengejar semua benda dalam satu masa,” katanya.

Kata Ana lagi, dia tidak minta banyak dalam hidupnya.

“Saya dapat berkahwin dengan lelaki yang dicintai, seronok jadi ibu dan sejak dulu pun kehidupan saya serba sederhana,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");