Jenayah

APMM Tahan Bot Berlabuh Tanpa Kebenaran

JOHOR BAHRU :Sebuah kapal pemancing profesional ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana berlabuh di kawasan larangan bersauh di perairan Pengerang, kira-kira jam 3 petang semalam.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, Kapal MT Hua Xiang 801 dikesan oleh bot ronda APMM yang sedang melakukan rondaan di perairan tersebut pada kedudukan lebih kurang 2.8 batu nautika selatan dari Tanjung Setapa.

“Bot peronda APMM kemudiannya memeriksa kapal yang didaftarkan di Zhua Shan,China itu yang membawa 12 orang anak kapal warganegara China berusia 23 hingga 53 tahun dan mendapati ia melakukan kesalahan berlabuh di kawasan larangan bersauh,” katanya, lapor Sinar Harian.

Amran berkata, kapten serta ketua jurutera kapal tersebut telah dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk siasatan selanjutnya.

“Kapal terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) iaitu berlabuh di kawasan larangan bersauh di perairan Malaysia.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 32 kes seumpama itu berjaya diselesaikan oleh APMM Tanjung Sedili pada tahun lalu, manakala bagi permulaan tahun 2017, ini adalah kes yang pertama.

“Kita akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal-kapal yang melalui perairan negara sentiasa terjamin dan mereka mematuhi undang-undang Malaysia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");