Isu Panas

BN tiada masalah kempen untuk Jamilah

KUCHING – BN tidak mempunyai masalah menjalankan kempen buat calonnya Datuk Amar Jamilah Anu pada PRK Tanjong Datu, walaupun beliau tidak dapat keluar dari rumah kerana masih dalam tempoh edah berikutan kematian suami.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mempunyai pengalaman pada PRK Kuala Kangsar baru-baru ini apabila meletakkan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon bagi mengambil alih tempat suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata sekiranya ada pertandingan, jentera BN akan berjalan seperti biasa dan membantu dalam memberi panduan kepada Jamilah mengenai kaedah untuk berkempen walaupun beliau tidak dapat keluar dari rumah kecuali dalam keadaan darurat, sebagaimana mengikut hukum fekah.

“Kaedah berkomunikasi ialah menerusi media sosial dan rakaman video yang akan ditayang di tempat-tempat tumpuan ramai.

“Kami tiada masalah jika ada pertandingan namun saya dan rakan-rakan dalam BN amat berharap agar beliau (Jamilah) diberi laluan, tiada pertandingan, bagi menghargai jasa Allahyarham Tan Sri Adenan Satem,” katanya dalam persidangan media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di sebuah hotel di sini hari ini.

PRK Dun Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Pada 19 Januari lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Februari ini sebagai hari mengundi.

BN Sarawak yang bermesyuarat pada 1 Februari lepas memutuskan untuk meletakkan balu Allahyarham sebagai calon, manakala PKR yang turut bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas mengumumkan tidak akan turut serta dalam PRK ini.

PRN Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata peranan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam membantu agensi-agensi kawalan sempadan negara akan diperincikan menerusi pindaan undang-undang, atau menerusi sebarang arahan daripada Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan peranan Rela tidak menganggu tugas-tugas kawalan sempadan sedia ada yang dipikul oleh Angkatan Tentera Malaysia ataupun pasukan polis.

Ahmad Zahid berkata, Rela merupakan tenaga gerakan besar yang akan dapat digunakan bagi menampung sebarang kekurangan dalam kawalan sempadan, terutama di kawasan-kawasan sempadan yang dikawal sepenuhnya oleh tentera atau polis.

Katanya, bagi tugas-tugas kawalan sempadan di Semenanjung Malaysia, ia banyak disandarkan di bahu Pasukan Gerakan Am, manakala di Sabah dan Sarawak, mungkin pasukan Rela boleh membantu pasukan polis dan tentera dalam mengawal sempadannya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");