Membawang Hari Ini

Intan Sarafina Alami ‘Kejutan Budaya’

KUALA LUMPUR: Kembali popular selepas menyepi hampir lapan tahun, penyanyi Intan Sarafina, mengakui berdepan ‘kejutan budaya’ apabila dilemparkan pelbagai kritikan dan komen negatif di laman sosial yang tidak pernah dilaluinya ketika mula mencipta nama.

Intan atau nama sebenarnya, Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, 36, berkata peralihan itu menuntutnya sentiasa bersedia dari segi mental dan emosi untuk kuat serta tabah menghadapi pelbagai ‘serangan’ yang tidak pernah dijangka.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kembali itu berkata, andai dulu setiap perkembangan artis hanya diketahui menerusi medium seperti akhbar, majalah dan televisyen namun seiring kemajuan teknologi, segala maklumat kini mampu diperoleh di hujung jari.

“Dulu segala komen dan pandangan peminat sukar diperoleh secara langsung, tetapi kini semuanya terhidang di depan mata.

Sejak muncul semula, banyak kritikan dan kecaman hebat yang saya terima. Ada yang berkata, saya tidak mampu menyanyi ‘live’ dan kaku di pentas.

“Peminat kini bebas menyuarakan pendapat, malah langsung tidak mempedulikan sama ada komen yang diberikan mengguris perasaan orang lain atau sebaliknya. Semua itu menuntut saya kuat dan kental kerana cabarannya kini lebih terasa,” kata Intan yang membuat kemunculan semula menerusi program, Super Karoks seterusnya menyertai Gegar Vaganza musim ketiga.

Di sebalik semua itu, Intan bagaimanapun mengakui perkembangan media sosial turut memberinya kelebihan untuk lebih agresif mempromosikan aktiviti seninya.

“Biarpun awalnya saya agak tertekan membaca pelbagai komen negatif, tetapi ia membantu membangkitkan semangat saya memperbaiki kelemahan diri. Saya tercabar untuk membuktikan apa yang mereka katakan itu tidak benar.

“Saya percaya diri mampu memberikan yang lebih baik. Komen negatif mereka juga mendesak saya supaya berusaha lebih keras membuktikan kemampuan,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Malah Intan bakal muncul dengan single terbaru, Aku Rindu ciptaan Tam Spider yang dijangka menemui peminat awal April depan.

Meskipun selesa mencuba pelbagai genre lagu, Intan tetap setia dengan konsep balada yang menjadi identitinya ketika mula bertapak pada tahun 2000.

“Saya selesa menyanyikan lagu balada kerana jiwa lebih cenderung kepada genre itu. Sebagai permulaan membina semula tapak, lebih baik saya memilih lagu yang bersesuaian dengan jiwa dan karakter,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");