Sukan Hari Ini

Masalah turapan litar selesai sebelum GP Malaysia – SIC

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, memandang serius kritikan terhadap turapan di litar berkenaan, namun optimis masalah itu mampu diatasi sepenuhnya menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, Oktober ini.

Di sebalik kejayaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menganjurkan sesi latihan pra-musim pertama MotoGP bagi 2017 yang berakhir semalam, beberapa pasukan berterusan mengkritik turapan baharu di litar terbabit yang dikatakan lambat kering selepas hujan lantas mencetus kebimbangan dalam aspek keselamatan.

Razlan berkata, pihaknya sudah menjalankan kerja-kerja pembaikan selepas perlumbaan GP Malaysia tahun lalu, namun ia masih belum mampu memuaskan hati kebanyakan pasukan terutama pada hari kedua ujian Selasa lalu yang berjalan dalam keadaan hujan.

“Kita sudah membuat pembaikan, mereka mungkin masih teringat situasi pada perlumbaan Oktober lalu. Mereka perlu faham keadaan cuaca di Sepang yang tidak menentu jadi mudahlah mereka nak menyalahkan kita,” kata Razlan ketika ditemui, semalam.

“Kita memang memantau keadaan dan saya juga tidak nafikan memang agak lama litar untuk kering selepas hujan. Namun kita masih mempunyai penyelesaian.

“Asphalt yang baharu ini berlainan daripada yang lama, namun cengkamannya begitu baik antara basah dan kering,” katanya sambil menambah SIC bersama kontraktor yang diberi tanggungjawab juga masih mempunyai beberapa pelan termasuk menampal ruang asphalt menggunakan sealant khas.

Razlan berkata, pihaknya akan menjalankan satu lagi pembaikan pada Mei dan Jun ini sebelum jawatankuasa keselamatan (Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) membuat pemeriksaan sekali lagi pada Julai.

Malah, katanya, andai pembaikan itu tidak dapat mengatasi isu terbabit, pihaknya turut mempunyai satu lagi pelan kecemasan tanpa perlu memikirkan jalan terakhir iaitu turapan semula.

“Masalah ini bukan di semua bahagian. Ada beberapa tempat sahaja seperti selekoh 15. Apapun, kita akan buat yang terbaik kerana ini membabitkan keselamatan,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");