Membawang Hari Ini

Momentum Ayda Jebat Dalam Nakal Nakal Nakal

Selesa dengan genre muzik rancak dan segar, Ayda Jebat atau nama lengkapnya, Nur Suhada Jebat berharap single terbaru, Nakal Nakal Nakal. mampu memacu skala populariti yang sama seperti Pencuri Hati.

“Lagu Pencuri Hati saya kira sebagai penanda aras untuk terus memberikan yang terbaik buat peminat. Ramai yang suka dengan lagu tersebut kerana iramanya catchy dan mudah diingati. Lebih penting, ia didedikasikan buat semua peminat.

“Jadi, saya mengharapkan aura yang sama buat Nakal Nakal Nakal. Setakat ini, sambutannya baik dan Alhamdulillah, nampaknya peminat menyenangi lagu berentak sedemikian,” kata Ayda optimis.

Kerjasama komposer seberang

Nakal Nakal Nakal merupakan runut bunyi drama bersiri adaptasi novel, Awak Sangat Nakal yang turut menampilkan Sharnaaz Ahmad sebagai teraju utama selain Ayda sendiri. Drama tersebut sudah pun bersiaran di saluran Astro Ria dan Ria HD pada 7 November lalu.

Bercerita mengenai penghasilan lagu tersebut dengan lebih lanjut, Ayda menambah, dia berbesar hati kerana sekali lagi berpeluang bekerjasama dengan komposer Indonesia dalam pembikinan single itu.

“Sebelum ini, saya sudah bekerjasama dengan Irwan Simanjuntak untuk Pencuri Hati dan kali ini, kami sekali lagi menyumbang idea bagi single Nakal Nakal Nakal.

“Rakaman lagu tersebut dilakukan di Indonesia awal November tahun lalu dan ternyata menjadi kenangan manis buat saya. Peluang bekerjasama dengan komposer luar secara tidak langsung memberi pengalaman berbeza,” ujarnya lagi.

Muzik seiring personaliti

Ditanya mengenai pemilihan lagu yang cenderung mendendangkan lagu-lagu rancak, Ayda mengakui, dia cuba mengikut selera semasa, selain mencari formula terbaik untuk menangkap halwa telinga pendengar.

“Sebelum ini, saya ada juga menyanyikan lagu balada. Cuma kali ini, saya dan team cuba mencari lagu berentak pop yang dirasakan kena dengan cita rasa pendengar semasa. Sebab kalau di Hollywood pun, kebanyakan penyanyi menerbitkan lagu catchy and fast untuk memikat pendengar dan sambutan yang diterima pun hebat.

“Lalu saya cuba menggunakan cara sama, tetapi dengan pendekatan berbeza.

“Insya-ALLAH jika punya lagu balada yang baik selepas ini, saya tidak ragu-ragu untuk merakamnya,” terang Ayda yang bakal muncul dalam sebuah filem bersama Shaheizy Sam dan Farid Kamil berjudul Pinjamkan Hatimu tidak lama lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");