Berita Hari Ini

Tidak perlu pertikai kepakaran forensik Malaysia

KUALA LUMPUR – Negara asing tidak seharusnya mempertikai kepakaran dan keupayaan pasukan forensik negara dalam menjalankan bedah siasat berhubung kematian Kim Jong-nam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau menegaskan Malaysia mempunyai pasukan forensik yang berkepakaran tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang tersebut, malah pernah memberi kerjasama menyelesaikan pelbagai kes di dalam dan luar negara.

“Kita mempunyai pasukan berpengalaman. Pasukan kita (pernah) berada di Belanda dengan pasukan forensik antarabangsa untuk kes MH17, juga di Indonesia selepas tragedi pesawat Air Asia 8501 untuk membantu mereka…kami tahu apa yang perlu dilakukan dan apakah prosesnya.

“Tiada persoalan mengenai kapasiti pasukan kita untuk mengenal pasti perkara sebenar. Semalam, saya bersama mereka (pasukan forensik), mereka menjelaskan kepada saya, sudah tentu kita perlu mendapatkan profil DNA (Jong-nam), kita juga mendapat cap ibu jari, sudah melakukan struktur gigi dan perkara tertentu pada mayat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian upacara pecah tanah Pusat Gamma Knife di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata dengan adanya semua bahan bukti penting, proses pengecaman mayat akan menjadi lebih mudah.

“Jika anak lelakinya datang (anak kandung), DNA beliau akan membantu kita dalam proses pengecaman, tetapi jika tiada, kita akan menggunakan elemen lain yang kita ada untuk mengesahkan identiti…proses itu sedang berjalan,” katanya.

Abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un itu meninggal dunia pada 13 Februari lepas ketika dalam perjalanan ke hospital.

Jong-nam sebelum itu dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun.

–Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");