Jenayah

Lelaki Didakwa Kerana Peras Ugut Keluarga Pastor Koh

Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret selepas didakwa memeras ugut RM30,000 daripada ahli keluarga Pastor Raymond Koh yang masih hilang.

Lam Chang Nam, 30, didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut anak lelaki Koh, Jonathan, dengan berjanji akan membebaskan pastor itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Paradigm Mall pada 3 Mac. Atas kesalahan berkenaan, dia boleh dikenakan hukuman penjara 7 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana 2 daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Majistret Azali Ibrahim tidak membenarkan tertuduh yang bekerja sebagai pemandu sambilan dan Uber, diikat jamin.

Mahkamah menetapkan 26 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ilyani Mohd Tamam sementara Lam diwakili peguam Raj Preet Kaur.

Polis menahan tertuduh pada Khamis di Ampang bagi membantu siasatan dalam kes penculikan Pastor Koh, yang diculik pada 13 Februari di Kelana Jaya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata siasatan polis mendapati Lam tidak ada kaitan dengan penculikan Koh.

“Dia mengambil kesempatan atas kejadian itu dengan memeras ugut mereka,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari. Mangsa memandu kereta Honda Accord berwarna perak dengan nombor plat ST 5515 D.

Beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya ketika diculik dan menerusi rakaman CCTV, penculikan itu nampak terancang membabitkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan pada waktu siang.

Keluarga Koh menawarkan habuan RM100,000 untuk mendapatkan maklumat di mana beliau berada.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");