Perak Hari Ini

Pertimbang Cadangan Jadikan Kawasan Padi Di Parit Bawah IADA

KAMPUNG GAJAH : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mempertimbangkan agar kawasan padi di Parit dimasukkan di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

 

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menerima cadangan yang sama menerusi Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan sebelum ini.

“Perkara ini mungkin tidak menjadi masalah dari segi pentadbiran kerana kemudahan pentadbiran di sini sudah lengkap termasuklah dari segi pengarah, jurutera dan sebagainya.

“Mereka boleh memberikan perkhidmatan ke kawasan yang lebih luas memandangkan ia berhampiran.

“Isunya ialah mungkin bajet pembangunan untuk membina sistem pengairan yang kita inginkan seperti yang kita buat di kawasan padi di bawah IADA.

“Sepatutnya ia tidak menjadi halangan kerana ia boleh dilakukan secara berperingkat dan ia perlu diberi perhatian untuk membangunkan kawasan itu dengan penuh komitmen mengikut kemampuan kita,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Karnival Mahabbah Institusi Agama di Masjid Al Ansar, Felcra Changkat Lada, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap agar pihak Kementerian Pertanian dapat memasukkan kawasan sawah di Parlimen Parit dimasukkan di dalam IADA.

Beliau berkata, produktiviti sawah di Parlimen Parit seluas 3,000 ekar agak rendah iaitu satu ekar, hanya sekitar 2.6 tan sahaja pengeluaran padi.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin turut menyambut baik cadangan menteri besar Perak untuk menaik taraf Institut Pertanian Titi Gantung sebagai Kolej Universiti menerusi langkah strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

“Saya rasa ianya idea yang bagus kerana ia memberi peluang kepada pelajar kita untuk mengambil kursus keusahawanan agro dan sebagainya.

“Ini kerana, institut ini mempunyai kemudahan pengajaran yang baik.

“Saya akan membawa perkara ini untuk dibincangkan,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");