Sukan Hari Ini

Azizulhasni Kebanggaan Rakyat Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni Awang yang telah mengharumkan nama negara apabila dinobatkan juara dunia bagi acara keirin di Kejohanan Trek Berbasikal Dunia 2017 di Hong Kong, malam kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi beliau berkata, kejayaan Azizulhasni yang mendapat pingat emas benar-benar membanggakan beliau dan seluruh rakyat negeri Terengganu.

“Kemenangan tersebut sekali gus merekodkan satu pencapaian yang tidak pernah diduga apabila ‘The Pocket Rocket Man’ menjadi atlet pertama negara memenangi emas di kejohanan trek dunia yang sudah pasti menjadi rebutan pelumba yang lain.

“Saya yakin dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Azizulhasni dapat memberi inspirasi kepada pasukan berbasikal kita, TSG untuk melahirkan lebih ramai atlet basikal yang berjaya,” katanya.

Ahmad Razif bersama barisan exco kerajaan negeri akan menemui anak kelahiran Dungun itu dalam masa terdekat bagi mengucapkan penghargaan dan terima kasih kerana berjaya membawa bendera hitam putih ke persada antarabangsa.

Dalam masa sama, beliau turut berharap veledrom yang dijanjikan kerajaan pusat untuk dibangunkan di Dungun sebagaimana diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dapat memberi manfaat kepada seluruh atlet berbasikal.

“Ia juga bakal menarik lebih ramai peminat terhadap acara berbasikal ini dan melahirkan lebih ramai juara.

“Pembinaan tersebut bukan sahaja dapat menaikkan lagi industri sukan, malah sektor pelancongan juga akan terus meningkat dan ia bakal merealisasikan sektor baharu ‘sports-tourism’ yang kita perkenalkan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");