Sukan Hari Ini

Tempoh sembilan tahun ke Piala Dunia terlalu cepat

TEMPOH sembilan tahun untuk layak ke Piala Dunia dilihat sebagai terlalu cepat dan sukar dicapai.

Legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh berkata, tumpuan harus diberikan untuk layak terlebih dahulu ke Piala Asia ataupun Sukan Olimpik.

“Tidak salah untuk letak sasaran ke Piala Dunia. Saya puji sasaran tersebut, tetapi ia harus realistik. Bagi saya, cuba layak terlebih dahulu ke Piala Asia atau Sukan Olimpik barulah boleh bercerita mengenai Piala Dunia.

“Kita juga kena faham untuk membentuk pasukan hebat dalam tempoh sembilan tahun agak sukar,” katanya meemtik sumber Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyasarkan tahun 2026 untuk skuad Harimau Malaya layak ke Piala Dunia.

Malah, Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) juga sebulat suara meluluskan 48 pasukan untuk berentap pada Piala Dunia 2026 sekali gus membuka peluang negara layak ke temasya dunia itu.

Mengulas lanjut, kata Santokh, beliau tidak dapat menjangkakan berapa tahun perlu diberikan kepada pembentukan skuad negara yang mantap tetapi menyifatkan ia bakal memakan tempoh yang panjang.

“Apa yang perlu dibuat ialah tumpuan kepada melahirkan pemain berbakat dan boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Jadi bagi saya ia terlalu cepat untuk ke Piala Dunia 2026,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah yang lebih tertarik untuk melihat blue print pembangunan skuad negara daripada membincangkan mengenai layak ke Piala Dunia.

Jelasnya, sasaran yang diletakkan Tunku Ismail itu adalah langkah bijak dan ke depan namun ia tidak mudah seperti dijangka.

“Bukan untuk menidakkan peluang skuad negara layak ke Piala Dunia, tetapi bagi saya ia sesuatu yang agak mustahil. Mungkin dalam tempoh sembilan tahun itu kita mampu bersaing untuk layak Piala Asia atau Olimpik tetapi belum sampai tahap Piala Dunia.

“Untuk masa sekarang, proses pembentukan pemain yang berkualiti perlu dimulakan seperti yang diperkatakan oleh Tunku Ismail,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");