Sukan Hari Ini

Citizens Perlu Kurangkan Silap

LONDON: Manchester City mempunyai ramai pemain berbakat untuk menggempur gawang lawan pada musim baru nanti tetapi mereka juga perlu mengurangkan kesilapan setiap kali bertahan, kata pemain sayap Raheem Sterling (gambar).
Pengurus Pep Guardiola menamatkan musim pertamanya di England tanpa sebarang piala apabila City sekadar menduduki tangga ketiga gara-gara kesilapan yang kerap dilakukan benteng pertahanan.
Kempen mereka di Liga Juara-Juara juga berakhir dengan masalah sama dan mereka gagal mempertahankan kelebihan dua gol ketika menentang AS Monaco di kelompok 16 pasukan terakhir tetapi Sterling percaya mereka mampu bangkit pada musim baru nanti.
“Dengan pasukan, pemain dan pengurus yang kami ada ini, sudah tentu kami akan lebih kuat pada musim baru nanti,” kata Sterling kepada laman web rasmi kelab (www.mancity.com).
“Kami adalah pasukan yang mampu menghukum pasukan lain. Kami cuma perlu bertahan lebih baik dan tidak melepaskan gol mudah. Masalah itulah yang membelenggu kami musim lalu. Ia adalah kesilapan sendiri.
“Sebaik kami dapat mengatasi masalah itu, kami akan menjadi kuasa besar di Liga Perdana.”
Pemain antarabangsa England berusia 22 tahun itu menjaringkan 10 gol dalam semua pertandingan musim lalu dan percaya Guardiola mampu membantu mengembangkan bakatnya.
“Beliau mampu mengubah sesiapa saja,” kata Sterling.
“Beliau sering memberikan nasihat dan bagi pemain seperti saya, adalah hebat apabila dapat belajar daripada seseorang sepertinya.”
-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");