Jenayah

Dua Rakyat Malaysia Ditahan, 200kg Syabu Dirampas

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand merampas 200 kg dadah jenis Ice atau lebih dikenali sebagai syabu bernilai kira-kira 400 juta Baht (RM50 juta) di Sadao, Songkla dan dan menahan dua lelaki rakyat Malaysia ketika hendak menyeludup dadah itu ke Malaysia.

Kedua-dua rakyat Malaysia itu, berumur 49 dan 35 tahun ditahan semalam selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai percubaan menyeludup dadah ke negara jiran.

“Pihak berkuasa menemukan tujuh guni mengandungi “Ice” dalam salah sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki rakyat Malaysia itu ketika dia hendak memindahkan dadah itu ke sebuah kereta lain milik rakan senegaranya,” kata Timbalan ketua Bahagian Pencegahan Jenayah (CSD) Kol Jeerapop Puridetch di sini hari ini.

Kedua-dua kereta, sebuah Honda Accord berwarna putih dan sebuah lagi berwarna hitam milik kedua-dua rakyat Malaysia itu, didaftarkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, pihak berkuasa melancarkan operasi untuk memberkas kedua-dua rakyat Malaysia itu selepas menerima maklumat bahawa kedua-dua suspek telah menyewa sebuah pangsapuri di Sadao dan merancang untuk menyeludup dadah ke Malaysia.

Sementara itu, dalam kes berasingan, pihak berkuasa penguatkuasaan dadah Thailand sedang memburu seorang lelaki rakyat Malaysia berikutan rampasan 44.84 kg heroin gred tinggi bernilai kira-kira 89.68 juta Baht (RM11.2 juta) di Hatyai Ahad lepas (20 Ogos).

Tiga lelaki rakyat Thailand juga diditahan dalam operasi yang sama, kata sumber peringkat tinggi kepada Bernama.

Menurut beliau, ketiga-tiga lelaki warga Thailand itu sepatutnya menyerahkan dadah tersebut kepada lelaki rakyat Malaysia pada hari mereka ditahan.

“Kami telah menyalurkan semua maklumat mengenai lelaki itu kepada pihak berkuasa Malaysia untuk operasi susulan,” kepada beliau kepada Bernama di sini dan menambah mereka percaya lelaki tersebut dapat menyelinap masuk ke Malaysia untuk mengelak daripada ditangkap oleh pihak berkuasa Thauiland.

Dadah-dadah itu yang dibungkus dalam 118 keping, berasal dari bandar sempadan Myanmar, Tachileik yang terletak dekat wilayah Chiang Mai di utara Thailand dan dibawa ke Hatyai oleh ketiga-tiga rakyat tempatan Thailand itu yang bertindak sebagai penyeludup.

Menurut sumber tersebut, pihak berkuasa menerima maklumat perisikan lebih awal mengenai percubaan untuk memindahkan dadah itu dari Tachileik ke Hatyai.

Ketiga-tiga warga Thailand itu berusia 36 hingga 42 tahun mengembara beribu-tibu kilometer dengan menaiki kereta sedan dan truk pikup ke Hatyai, di selatan Thailand.

“Mereka diberi arahan untuk menyerahkan dadah itu kepada seorang lelaki rakyat Malaysia di Hatyai, ” kata sumber itu dan menambah mereka diberkas di tempat letak kereta sebuah restoran dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan Ahad lepas.

Berikutan penangkapan ketiga-tiga lelaki warga Thailand itu, pihak berkuasa memeriksa kenderaan tersebut dan menemukan heroin disembunyikan dalam beberapa bahagian truk pikup itu.

Kira-kira 50 keping heroin dijumpai disembunyikan dalam tayar ganti trak dan 57 lagi lagi dijumpai dalam kompartmen pembesar suara manakala yang lain ditemukan dalam beberapa bahagian trak,” kata sumber itu memetik laporan Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");