Berita Hari Ini

Skor Indeks Syariah Malaysia 2017 Meningkat, Bukti Urus Tadbir Negara Berpaksi Maqsid Syariah -PM Najib

PUTRAJAYA: Peningkatan 0.64 peratus skor Indeks Syariah Malaysia kepada 76.06 peratus bagi tahun 2017 berbanding 75.06 peratus pada 2015 menjadi bukti pencapaian kerajaan mentadbir negara selaras dengan Maqasid Syariah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beberapa dapatan penting Indeks Syariah 2017 membuktikan usaha-usaha dan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan telah memberi impak kepada rakyat.

Jelasnya, skor Indeks Syariah Malaysia 2017 mencatatkan peningkatan yang amat ketara untuk empat bidang iaitu kesihatan, prasarana dan persekitaran, ekonomi serta sosial.

“Apabila kita bercakap tentang Maqasid Syariah, sudah pasti apa yang terlintas di minda kita ialah indeks Syariah Malaysia iaitu projek yang amat dekat di hati saya. Pada 10 Februari 2015 yang lalu saya telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia buat julung kalinya di negara ini dan juga yang pertama seumpamanya di dunia.

“Banyak gerak kerja dan tindakan penambahbaikan yang telah dilakukan Jakim dan pelbagai kementerian bagi memastikan ia dilaksakan sebaik mungkin.

“Saya difahamkan sebanyak 13 kementerian dan jabatan telah menubuhkan Sekretariat Indeks Syariah bagi memastikan dasar dilaksanakan selaras Maqasid Syariah,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Perdana Ulama, Umara dan NGO Islam serta Pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Matlamat utama pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia adalah bagi memupuk perpaduan ummah di kalangan rakyat.

Ia juga dipastikan tidak bertentangan dengan perlembagaan atau mengambil hak serta cuba mengubah cara hidup penganut agama lain.

Selain berpaksikan perlembagaan negara, pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia juga sama sekali tidak akan mengambil kuasa Raja-Raja Melayu, yang dijadikan rujukan dalam hal berkaitan agama selaku ketua agama Islam di negara ini.

Dalam pada itu jelas beliau, penyelidikan kali kedua Indeks Syariah tahun ini melibatkan 222 orang penyelidik daripada enam buah universiti awam.

“Jumlah responden keseluruhan yang terlibat dalam Indeks Syariah Malaysia 2017 ini adalah seramai 27,292 orang; pembuat dasar seramai 2,280 orang; pelaksana dasar seramai 6,555 orang dan masyarakat seramai 18,457 orang.

“Apa yang menarik tentang dapatan Indeks Syariah Malaysia 2017 ini ialah jumlah respoden adalah terdiri daripada Islam dan bukan Islam. 50 peratus daripada responden masyarakat adalah mereka yang berumur antara 21 sehingga 30 tahun yang merupakan generasi TN50,” ujarnya.

Pada majlis sama Datuk Seri Najib turut mengumumkan sumbangan khas kerajaan sebanyak RM2 juta kepada NGO Islam di negara ini.

Dalam pada itu, Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria dinobatkan Tokoh Ulama Sepanjang Zaman.

Sementara Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad dan Timbalan Presiden Aqsa Syarif, Dr. Fauziah Mohd. Hassan masing-masing diumumkan Tokoh NGO Lelaki dan Wanita.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa pula diumumkan Tokoh NGO Belia.

 

-ASTRO AWANI

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");