Berita Hari Ini

Bajet 2018 Bantu Golongan Muda

SHAH ALAM – Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut membela nasib penyewa rumah yang kebanyakannya anak muda di bandar.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar & Perumahan (HELP) Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pengecualian cukai ke atas pendapatan sewaan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan sewa sehingga RM2,000 sebulan kepada individu rakyat Malaysia yang bermastautin di Malaysia memberi kegembiraan kepada golongan ini.

“Terima kasih kepada kerana prihatin kepada golongan yang menyewa rumah. Menyewa rumah adalah pilihan kepada golongan muda sehingga mereka dapat membeli rumah sendiri.

“Hakikatnya tahap kemampuan anak-anak muda untuk memiliki rumah sendiri adalah terbatas disebabkan harga rumah yang semakin mahal,” katanya dalam satu kenyataan lapor Sinar Harian.

Katanya, kenaikan kos sara hidup dan harga rumah semakin meningkat menyebabkan golongan muda yang rata-rata masih belum stabil ekonomi terpaksa menyewa rumah terlebih dahulu.

“Bajet kali ini cukup komprehensif kerana memgambil kira golongan yang dilupakan dalam ‘bajet angan-angan’ pembangkang.

“Pengumuman ini ibarat durian runtuh kerana sebelum ini golongan ini merasakan terpinggir dan tiada subsidi yang diberikan secara direct kepada mereka,” ujarnya.

Tambahnya, dengan pengecualian cukai yang diberi bermula dari tahun taksiran 2018 hingga 2020 sudah tentu masalah pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda dan berpendapatan sederhana dapat diatasi.

“Ini kerana mereka boleh menabung untuk menyediakan bayaran pendahuluan membeli rumah.

“Selain itu satu akta sewaan rumah kediaman untuk melindungi penyewa dan pemilik rumah juga turut digubal bagi mengelakkan mereka teraniaya atau tidak mendapat hak sepatutnya ketika menyewa rumah,” katanya.

Nazir Hussin berkata, pemilikan rumah bukan sekadar memenuhi impian tetapi dapat meningkatkan kualiti hidup.

“Untuk mengatasi isu ini, ada beberapa pengumuman lagi oleh Najib bagi membolehkan rakyat khususnya golongan muda memiliki rumah sendiri antaranya peruntukan sebanyak RM2.2 bilion untuk merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat.

“Bagi rumah terbengkalai pula, dicadangkan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindahmilik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai berkuatkuasa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020,” katanya.

Melalui iltizam kerajaan melalui bajet yang diumumkan kali ini, kesejahteraan rakyat khususnya anak muda dan golongan sederhana dapat dipertingkatkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");