Jenayah

Ibu Dituduh Melacurkan Anak Perempuan

LAWAS: Dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melacurkan seorang remaja perempuan yang juga anak kandung salah seorang tertuduh, April lalu.

Noraini Akal, 30, dituduh mengikut Seksyen 372 (1) (a) Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan anaknya yang berusia 14 tahun untuk tujuan pelacuran.

Turut dituduh seorang wanita yang juga pemilik pusat karaoke di Lawas, Dina Pengiran, 45. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara hingga 15 tahun dan sebatan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Raduan Nawawi di hadapan Majistret Keli Mareng.

Keli kemudiannya memerintahkan kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Willie Liau, diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan dua penjamin kalangan penduduk tempatan yang berpendapatan tetap.

Kedua-dua tertuduh juga diarah melapor diri seminggu sekali di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas dan mereka dilarang menghubungi atau mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mempergunakan seorang remaja perempuan untuk tujuan pelacuran di sebuah hotel di Lawas, kira-kira jam 3 pagi, April lalu.

Sementara itu, di mahkamah sama hari ini, seorang lelaki berusia 30 tahun direman enam hari hingga 18 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 43 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Suspek yang ditahan polis semalam, disyaki lelaki yang membayar sejumlah wang kepada kedua-dua tertuduh untuk melanggan remaja perempuan terbabit.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");