Perak Hari Ini

100 Trak Makanan Tarikan Karnival Jualan Mega 2017

TANJUNG MALIM – Karnival Jualan Mega (KJM) 2017 akan menghimpunkan 100 trak makanan dari seluruh negara yang menawarkan lebih 200 variasi pilihan makanan kepada pengunjung di Bulatan Amanjaya di Meru, Ipoh, selama lima hari bermula esok.

Malah, penganjuran KJM kali kedua itu bakal mencatat rekod baharu apabila Konvoi Trak Makanan Malaysia itu akan diiktiraf sebagai ‘The Longest Distance Food Truck Convoy in Malaysia’ yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), termasuk melibatkan kerjasama wakil komuniti trak makanan di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Jamil Salleh menyempurnakan pelepasan konvoi itu di Dataran 1Malaysia Youth City (1MYC) Food Truck Hotspot di perkarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini, pagi tadi.

Pada sidang media sebelum pelepasan konvoi itu, Jamil berkata kesemua peserta trak makanan itu akan berkonvoi sejauh 130 kilometer dari UPSI di sini, menuju ke tapak karnival sebelum menjalankan jualan bermula esok.

“Terdapat penambahan penyertaan pengusaha trak makanan pada tahun ini berbanding 79 penyertaan ketika pelaksanaan buat pertama kalinya di Johor Bahru tahun lepas.

“Malah pada tahun ini, turut terlibat 25 trak makanan di bawah program agensi KPDNKK iaitu 1Malaysia Mobile Hawkers manakala lain-lain datang dari seluruh negara termasuk Sabah,” katanya.

Beliau berkata penganjuran karnival itu bagi memberi peluang kepada pengguna berbelanja pada harga berpatutan, merancakkan lagi kegiatan ekonomi dan perniagaan domestik serta memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali peranan KPDNKK dan agensi seliaannya.

Selain itu, katanya program tersebut menzahirkan hasrat kementerian dalam mentransformasikan imej dan persekitaran perniagaan jalanan di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penjaja dan Perniagaan Kecil KPDNKK, Abdullah Abdul Rahman berkata peserta berkumpul selama tiga hari di Tanjung Malim bermula 18 Nov bagi latihan pemantapan pengurusan serta keselamatan makanan.

KJM yang juga ‘signature event’ KPDNKK, memilih Perak sebagai lokasi pada kali ini adalah bersempena Tahun Melawat Perak serta kedudukannya yang strategik membolehkan pempamer utama di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Pulau Pinang untuk turut serta.

Antara pengisian program karnival itu adalah jualan bersepadu, trak makanan, gerai jualan, latihan dan konsultasi, hiburan dan infotainment serta konsert dan persembahan artis tanah air. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");