Perak Hari Ini

Perak Lancar Program Anak Cemerlang Amanjaya Tahun Hadapan

IPOH:Kerajaan Perak menerusi Yayasan Perak bakal memperkenalkan program “Anak Cemerlang Amanjaya (ACe) yang memberikan bantuan khusus kepada murid tahun empat dan lima yang mempamerkan potensi cemerlang dalam bidang pendidikan.

Menurut Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff, sebelum ini bantuan disalurkan kepada asrama Harmoni Amanjaya berlokasi di Taiping dan bagi meluaskan lagi konsep asrama tersebut ACe melibatkan 480 pelajar akan diperkenalkan menjelang tahun hadapan.

“Pada ketika itu pelajar adalah terhad 172 sahaja malah keberhasilan mereka agak kurang jadi kita adakan program ACe yang mana pada peringkat pertama sebanyak 200 murid dari tahun lima dan 200 murid tahun enam mesti mendapat 2A,2B sekurangnya 1C memasuki program ini.

“Malah pada masa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kita jangkakan mereka akan memperolehi 5A bagi kesemua mata pelajaran,” katanya dalam satu sidang pada majlis pelancaran Apresiasi & Inspirasi Kecemerlangan 2017 dan anugerah Huffaz di sini hari ini.

Terdahulu majlis anugerah telah dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turut menyampaikan hadiah kepada pelajar yang cemerlang.

Jelasnya ACe bakal menyediakan sumbangan insentif sejumlah RM1,000 secara berperingkat sepanjang tahun merangkumi RM280 pemberian insentif kewangan awal tahun melibatkan barangan peralatan sekolah beg sekolah dan pakaian.

“Murid terpilih juga akan menerima wang saku sebanyak RM2 sehari dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM300 bagi yang berjaya mengekalkan keputusan cemerlang.

“Pada peperiksaan pertama sekiranya keputusan peserta ACe ini turun daripada sasaran prestasi yang ditetapkan jadi secara automatik akan tersingkir daripada program ini dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan menyaring nama baru,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai penganjuran Apresiasi & Inspirasi Kecemerlangan 2017 dan anugerah Huffaz yang julung kali diadakan ini katanya ia adalah satu penghargaan kepada anak Perak yang menempa kejayaan dalam pelbagai bidang.

“Ia satu cetusan idea daripada Menteri Besar yang mahu adanya satu pengiktirafan kepada pelajar daripada segenap aspek dengan penglibatan bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).

“Sekiranya tiada acara sebegini mungkin kita tidak mengetahui mengenai pencapaian terbaik anak-anak negeri ini yang antaranya telah berjaya mengalahkan juara Muaythai di Thailand,” katanya.

Katanya lagi, anugerah ini akan diteruskan untuk tahun mendatang dan menjadi acara tetap setiap tahun supaya semua rakyat negeri ini yang mempunyai potensi daripada bidang sukan, akademik, agama akan bersaing secara sihat bagi merebut anugerah yang ditawarkan kelak.

“Kita mahu Yayasan Perak menjadi juara dalam membantu bidang pendidikan sukan, kokurikulum, dan Agama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");