Sukan Hari Ini

Tavecchio Terus Ditekan Letak Jawatan

MILAN: Presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) Carlo Tavecchio terus dipalit tekanan untuk menerima nasib sama seperti jurulatih, Gian Piero Ventura selepas kemelut kegagalan skuad kebangsaan negara itu ke Piala Dunia berlarutan.

Ventura dipecat semalam, dua hari selepas Itali seri tanpa jaringan dengan Sweden pada aksi kelayakan playoff kedua sekali gus gagal ke kancah elit itu buat kali pertama sejak 1958.

Akhbar berpengaruh, Gazzetta dello Sport mendedikasi keseluruhan editorialnya semalam untuk menggesa Tavecchio, 74, supaya bertanggungjawab kerana beliau yang membuat keputusan buruk dengan melantik Ventura sebelum ini.

“Bukan saja Ventura tapi juga Tavecchio dan pihak lain yang bertanggungjawab atas penyingkiran menakjubkan Itali daripada Piala Dunia tidak lagi layak untuk tugas berkenaan,” katanya.

Tavecchio yang dipilih mengetuai FIGC sekali lagi pada Mac lalu dengan janji untuk mengembalikan kredibiliti Itali, semalam berkata beliau akan kekal dan mengetuai proses membentuk semula pasukan kebangsaan.

Ketua kesatuan pemain, Damiano Tommasi bertindak keluar daripada mesyuarat FIGC lebih awal selepas mengetahui Tavecchio tidak mahu meletakkan jawatan.

“Saya mahu mereka memulakan semuanya daripada kosong,” kata Tommasi. “Presiden berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan dan orang lain tidak mengambil sebarang tanggungjawab.

“Kami perlu melakukan pemilihan semula. Bola sepak Itali memerlukan sesuatu yang baharu dan berbeza.”

Presiden Jawatankuasa Olimpik Itali, Giovanni Malago juga berpendapat Tavecchio perlu meletakkan jawatan.

“Hanya beliau boleh mengambil tanggungjawab itu, keputusan di tangannya. Secara peribadi, jika saya berada di posisinya, saya akan meletakkan jawatan,” kata Malago.

Presiden Torino, Urbano Cairo turut menyuarakan pandangannya Tavecchio perlu melepaskan jawatan sekalipun beliau antara penyokongnya sebelum ini.

“Saya positif terhadapnya tapi apabila anda berdepan dengan kegagalan sebesar ini, perlu ada kesannya kerana tidak boleh mengharungi begitu saja tanpa berlaku apa-apa,” katanya. – Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");