Sukan Hari Ini

Hormati Keputusan Pahang

KUALA LUMPUR: Keputusan Pahang yang enggan ‘menumpang’ tiket pasukan lain dalam kejohanan Piala AFC sepatutnya difahami dan dihormati, kata legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan naib juara Liga Super 2017 itu secara rasminya tidak akan mewakili Malaysia ke kejohanan tersebut.

Pahang sebelum ini dipilih oleh FAM sebagai pasukan pengganti ke kejohanan itu berikutan status mereka selaku naib juara Piala FA setelah Kedah yang merupakan juara piala berkenaan gagal mendapatkan lesen Piala AFC.

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) telah menolak tawaran itu – keputusan yang mendapat kecaman sebilangan peminat dan pemerhati bola sepak.

Menyokong penuh keputusan Pahang itu, Jamal Nasir berkata pihak pengurusan skuad Tok Gajah telah mengambil keputusan tepat untuk tidak menyertai Piala AFC kerana mereka tidak bersedia untuk menghadapinya.

Katanya, Pahang bakal menampilkan ramai pemain muda untuk musim depan dan tanpa pengalaman yang mencukupi bagi menghadapi kejohanan berprestij seperti Piala AFC adalah bukan langkah yang bijak.

“Untuk apa Pahang menyertai Piala AFC kemudian dibelasah teruk oleh kelab lain. Pahang tidak bersedia untuk kejohanan itu kerana mereka sedang mempersiapkan pasukan dan bakal menampilkan ramai muka baharu pada musim depan.

“Jika pemain muda ini me­nyertai Piala AFC tanpa pengalaman yang mencukupi dan kemudian dibelasah oleh kelab lain, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada mental pemain dan macam mana pula mereka mahu menghadapi saingan Liga M kerana sudah pasti mereka teruk dikutuk oleh peminat Pahang sendiri.

“Sudahlah ganti pasukan lain kemudian teruk dibelasah, bukankah itu memalukan Pahang sendiri dan Malaysia turut menerima kesan. Bukan soal tidak mahu memberi pendedahan kepada pemain tetapi jika kita mahu menyertai kejohanan kita perlulah bersedia terlebih dahulu.

“Kejohanan antarabangsa ti­dak sama dengan domestik. Mental dan kecergasan pemain kena kuat tetapi orang tidak faham perkara itu semua,” katanya, menerusi laporan Utusan Online.

Jamal Nasir, yang pernah ber­aksi bersama Tok Gajah dari 1971 hingga 1984, berkata jika Pahang mahu menyertai Piala AFC mereka mahu mewakili Malaysia secara merit dan bukannya menggantikan pasukan lain dalam keadaan tidak bersedia.

“Ini adalah keputusan Pahang. Mereka ada prinsip dan tidak akan berubah fikiran. Kita perlu ada maruah sebelum menyertai mana-mana kejohanan dengan layak secara merit dan bukannya tumpang tiket pasukan lain,” katanya lagi.

Sebaliknya, Jamal Nasir me­negaskan bahawa FAM sepatutnya membantu Kedah untuk mendapatkan lesen Piala AFC dan bukannya menggugurkan skuad Lang Merah dan kemudiannya menggantikan dengan pasukan lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");