Membawang Hari Ini

Imbau Kenangan Kanak-kanak

BAGI mereka yang membesar sekitar tahun 90-an dan seterusnya, drama animasi Pokemon barangkali bukan asing lagi. Menerusi siri animasi ini, kita mengenali beratus-ratus karakter seperti Pikachu, Bulbasaur, Charmender, Squirtle, Pidgey, Meowth, Psyduck, Onix dan banyak lagi.

Biarpun terdapat beberapa perubahan perjalanan siri Pokemon dari tahun 1997 sehingga kini, namun ia tetap mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Dan sempena sambutan ulang tahun ke-20 siri animasi ini, syarikat produksi OLM membawakan semula kisah budak lelaki bernama Ash Ketchum mempunyai impian untuk mengembara dunia dan mendapatkan gelaran Pokemon Master menerusi filem Pokemon The Movie: I Choose You!

Filem ini diarahkan oleh Kunihiko Yuyama dan dibuat dalam dua bahasa iaitu Jepun dan Inggeris. Ia menyaksikan Rica Matsumoto meminjamkan suara untuk karakter Ash Ketchum dalam bahasa Jepun, manakala Sarah Natochenny diberi tanggungjawab alih suara dalam bahasa Inggeris.

Ia masih mengekalkan kisah Ash, 10 tahun, dari Pallet Town, yang teruja apabila dia dapat menjadi Pelatih Pokemon. Selepas datang lewat untuk mengambil Pokemon pertamanya daripada seorang Profesor tempatan, Ash bertembung dengan Pikachu dan bersamanya dia memulakan kehidupan sebagai Pelatih Pokemon.

Filem ini bermula dengan mengekalkan jalan cerita asal, di mana Ash yang teruja untuk menjadi Pokemon Master tidur dan bangun lambat, sehingga seterusnya dia mendapat Pokemon yang masih belum bersedia untuk bersama pelatih, Pikachu.

Namun kerana semangat yang berkobar-kobar, Ash tetap meneruskan misinya dengan Pikachu sehinggalah mereka diserang sekumpulan burung – Spearow.

Dan selepas itu, Shoji Yonemura selaku penulis filem ini menyambung perjalanan Ash berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkan di dalam animasi atau filem Pokemon sebelum ini.

Bagi sesetengah peminat tegar siri ini, mereka kecewa apabila karakter Misty dan Brock dimatikan begitu sahaja dan digantikan dengan ‘rakan baru’ Ash iaitu Sorrel (Souji) dan Verity (Makoto).

Bagaimanapun mereka masih mengekalkan tiga ahli team Rocket iaitu Jessie, James dan Meowth. Cuma penulis kurang berpuas hati kerana peranan mereka seolah-olah dikurangkan sehingga tidak ada pertarungan melibatkan team Rocket dan Ash seperti selalunya.

Bagi penulis, perjalanan filem ini lebih segar dan tentu sekali berbeza dari siri asal. Namun dek kerana perlu memendekkan misi perjalanan Ash dan usahanya untuk menjadi Pokemon Master, maka ada ketikanya, tidak puas melihat babak pertarungan di antara Pokemon.

Malah, rasa terlalu mudah untuk Ash berjumpa dengan ‘The Greatest’ Pokemon dan ia seharusnya di sambung dalam filem sekuel pula.

Namun itu bukan bermakna filem ini tidak berbaloi untuk ditonton, kerana bagi penulis, filem ini sedikit sebanyak akan mengimbau memori anda dengan siri terbabit sekiranya anda benar-benar peminat Pokemon dahulu.

Cuma bagi penulis, sekiranya, ditambah baik lagi dari segi jalan cerita dan babak pertarungan, filem ini akan menjadi lebih baik lagi.

Itu hanya pandangan penulis dan sekiranya anda mahu melihat sendiri hasil dan mengetahui apakah misi yang dilalui Ash untuk menjadi Pokemon Master?

Jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.

Pokemon The Movie: I Choose You!
Pengarah: Kunihiko Yuyama
Pelakon: Sarah Natochenny, Ikue Otani, Carter Cathcart, Rodger Parsons & Michele Knotz.
Genre: Anime
Durasi: 1 Jam 38 Minit
Klasifikasi: P13
Tayangan: 7 Disember 2017
Keseluruhan : * * * . 5

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");