Berita Hari Ini

Singkir Terus Israel Daripada PBB

SHAH ALAM – Usaha bersepadu perlu diambil masyarakat antarabangsa bagi menyingkir Israel daripada menganggotai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, sejak penubuhan negara Israel, pelbagai masalah ditimbulkan terutama terhadap rakyat Palestin yang jelas bertentangan tujuan dan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri.

“Di antara matlamat utama penubuhan PBB adalah mengelak perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia, menjamin rasa hormat undang-undang antarabangsa dan baiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia.

“Semua matlamat yang dinyatakan, jelas tidak dipatuhi Israel sejak penubuhan negara mereka lebih 50 tahun lalu. Kerana itu, Israel wajar disingkir terus daripada PBB,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Menurutnya, Perkara 6 Piagam PBB 1945 itu juga menyatakan dengan jelas ‘Anggota PBB yang berterusan melanggar prinsip terkandung dalam piagam itu boleh dibuang pertubuhan melalui perhimpunan agung atas syor Majlis Keselamatannya’.

“Bagi menjayakan cadangan berkenaan, masyarakat antarabangsa perlu bersatu seperti ditunjukkan mereka baru–baru ini, melalui resolusi Majlis Keselamatan, PBB 2334 pada Disember 2016.

“Dengan penyingkiran Israel, seluruh negara dunia lebih mudah bekerjasama untuk terus bantu rakyat Palestin dan memaksa Israel mengubah perangai buruk mereka selama ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Muzaffar berkata, walaupun perkara itu sukar dilaksanakan terutama tanpa sokongan sesetengah negara yang menduduki Majlis Keselamatan PBB, yang menjadi proksi dan penyokong kuat Israel seperti AS, namun langkah atau usaha ingin diambil itu sekurang-kurangnya memberi isyarat jelas kepada rejim Zionis bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan duduk diam atas segala keganasan dilakukan terhadap penduduk Palestin.

Tambahnya, penduduk Palestin tidak pernah menikmati kedamaian sejak penubuhan negara Israel pada 1948 termasuk rampasan bandar Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza oleh Israel selepas tamatnya Perang Enam Hari pada 1967.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");