Perak Hari Ini

APM Tumpu Penyertaan Lebih Ramai Ahli CDERT-C

IPOH:Tugas menyelamat bukannya terletak sepenuhnya di tangan pihak berwajib sebaliknya setiap daripada kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan keselamatan bagi mengurangkan risiko sekiranya berhadapan dengan bencana dan kemalangan.

Malah sekiranya berlaku kemalangan dan bencana kita mula menyalahkan pelbagai pihak terutama kepada pihak pemerintah, kerajaan juga agensi penyelamat yang mana kewujudannya untuk membantu menyelaras apa sahaja kebaikan buat masyarakat selain bantuan bersama dari masyarakat itu sendiri.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Kolonel Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata kesejahteraan hidup bermula daripada kelompok dibawah yang dapat memainkan peranan masing-masing bagi mengurangkan impak kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda melalui tindakan awal bantuan kecemasan sebelum kehadiran pihak penyelamat.

“Ilmu berkaitan keselamatan amat penting, apa sahaja pengetahuan yang boleh mengurangkan risiko kehilangan harta benda dan nyawa.

“Namun, tidak dinafikan sektor keselamatan perlu diperkasakan untuk jaminan kedaulatan negara,” katanya kepada media pada sesi sidang media hari ini.

Katanya lagi, pelbagai pendekatan diambil pihak APM bagi memberi pendedahan awal kepada orang awam berkaitan aspek keselamatan termasuk sasaran memperbanyakkan Pasukan Tindakan Awal Kecemasan Komuniti (CDERT-C) di setiap kawasan pelosok di negeri ini.

“Di Perak kita telah menubuhkan hampir 400 CDERT-C kampung dan terus menambahnya dari semasa ke semasa serta mengambil pendekatan untuk rakyat sendiri mempunyai pengetahuan, kesiap siagaan dalam menghadapi apa sahaja bentuk kecemasan dan bencana termasuk juga rawatan kecemasan malah kebakaran.

“APM juga terus memberikan pendedahan dan mendidik orang ramai berkaitan dengan ilmu keselamatan sekurang-kurangnya 10 peratus komuniti mendapat maklumat keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kesedaran terhadap perkara itu masih kurang dan terdapat segelintir kelompok masyarakat merasakan ilmu asas keselamatan sesuatu perkara yang remeh.

Malah, ada dikalangan masyarakat yang begitu yakin dengan situasi kini tanpa memikirnya risiko bahaya yang mendatang.

Penglibatan Orang Asli Dalam CDERT-C

Jelas Mohd Noor Hassan, penglibatan masyarakat Orang Asli dalam APM cukup baik namun usaha perlu diteruskan bagi memperbanyakkan penyertaan komuniti tersebut di dalam CDERT-C.

Katanya, bagi kawasan perkampungan Orang Asli, kebanyakkan mereka tinggal jauh dipendalaman hingga mengakibatkan bantuan kecemasan sukar sampai pada waktu yang tepat.

Berikutan itu pendedahan CDERT-C melibatkan masyarakat Orang Asli akan dipertingkatkan supaya mereka mampu mengurangkan risiko bahaya juga membantu memberikan pertolongan asas kecemasan kelak.

“Masyarakat tak boleh bergantung harap sahaja kepada agensi penyelamat yang sememangnya menjadi tanggungjawab membantu menangani masalah namun mereka juga perlu memulakan langkah pertama mengurangkan risiko tersebut,” katanya.

Pihak APM telah bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Tok Batin di setiap perkampunngan Orang Asli terpilih bertujuan memberi pendedahan berkaitan asas pertolongan cemas melibatkan persekitaran mereka.

“Pendedahan ini perlu malah dorongan supaya mereka membuat panggilan kecemasan juga adalah satu langkah mendidik selain bantuan awal kecemasan, mengawal pendarahan jika cedera dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu katanya Pos Piah Sungai Siput bakal menjadi perkamungan Orang Asli pertama yang mengikuti pelaksanaan CDERT-C melibatkan penyertaan sekitar 100 orang penduduk dan Tok Batin di kawasan tersebut yang akan dilancarkan hari ini.

“Kita akan tubuhkan sebanyak mungkin CDERT-C di setiap kampung Orang Asli kerana tidak ada istilah berhenti bagi mendidik masyarakat tentang ilmu kecemasan proses berterusan, kaedah pentaulihan serta menjadi duta kecil bagi menyampaikan maklumat kepada orang lain dan keluarga bermula dengan komuniti,” katanya.

Katanya kerjasama dan saling mengenali budaya masyarakat orang Asli penting supaya kerjasama dan matlamat mendidik mereka mengenai soal keselamatan dapat dicapai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");