Berita Hari Ini

Kakitangan JPN Perlis Fitnah PM

KANGAR: Pemuda UMNO Perlis hari ini membuat laporan polis mengenai tindakan seorang pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ini, berkongsi dan memuat naik status fitnah terhadap Perdana Menteri di laman sosial Facebook.

Laporan polis itu dibuat Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atief Syed Abu Bakar, di Balai Polis Kangar, di sini, pagi ini, menggesa siasatan lanjut dilakukan mengenai tindakan penjawat awam itu melalui akaun Facebook menggunakan nama Azran Mohamad.

Syed Atief berkata, isu penjawat awam antikerajaan bukan perkara baharu, malah tindakan mereka memuat naik status di media sosial sudah sering kali dilaporkan kepada pihak polis.

“Beliau menjawat kedudukan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan di JPN Perlis dan tindakannya adalah sesuatu yang tidak beretika. Beliau turut menghasut kakitangannya di dalam status itu.

“Mungkin jumlah kakitangan kerajaan yang tidak berdisiplin dan tidak beradab ini tidak ramai ketika ini, namun jika perkara ini dibiarkan berlanjutan, akan jadi suatu kebiasaan dalam kalangan warga kakitangan kerajaan untuk memburukkan imej majikan mereka,” katanya.

Syed Atief berkata, mana-mana penjawat awam yang tidak mampu menyokong dasar yang diperkenalkan kerajaan, sudah pasti tidak mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Justeru, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Perlis mencadangkan supaya kerajaan mempermudahkan proses pemecatan kakitangan kerajaan yang diyakini antikerajaan.

“Tindakan ini membolehkan peluang pekerjaan ditawarkan kepada generasi muda yang tentunya lebih komited dan energetik dalam menyempurnakan tugasan mereka,” katanya.

Sejurus selesai membuat laporan polis, Syed Atief turut mengunjungi Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail, bagi membincangkan isu itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis oleh Syed Atief.

“Selain Syed Atief, polis menerima satu lagi laporan mewakili Majlis Belia Negeri Perlis berhubung kenyataan pegawai kanan terbabit di media sosial.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");