Perak Hari Ini

Keindahan Tersembunyi Di Taman Rekreasi Gunung Lang

IPOH:Taman Rekreasi Gunung Lang yang terletak hanya lima kilometer dari bandar Ipoh telah menjadi satu tarikan terbaru buat orang ramai berekreasi santai bersama keluarga.

Hasil Tinjauan Perak Today hari ini mendapati taman ini sesak dengan kunjungan orang ramai terutama keluarga yang mengisi waktu cuti terluang untuk menghayati keindahan alam yang terdapat di Ipoh Perak.

Sejarah Gunung Lang

Sekitar tahun 1999-2003, Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan Tempatan telah membangunkan kawasan ini di bawah Rancangan Malaysia ke 8 sebagai pembangunan Taman Awam.

Gunung Lang telah dijadikan kawasan rekreasi oleh Majlis Bandaraya Ipoh yang dilengkapi dengan tiga buah tasik buatan dari bekas lombong bijih timah menerusi peruntukan sebanyak RM8.4 juta, malah ia kemudian dibangunkan melalui fasa pertama dan kedua sebagai taman rekreasi awam sepenuhnya pada 1999 di bawah Rancangan Malaysia ke Tujuh (RMK-7) oleh Jabatan Landskap Negara.

Pembangunan tersebut merangkumi komponen laluan pejalan kaki, menara pandang jauh, jeti bot, tandas serta air terjun buatan tertinggi di Malaysia.

Malah kawasan ini telah berjaya menampung kehendak penduduk kawasan bandaraya Ipoh serta menjadi tumpuan pelancong sebagai ‘stop over point’ laluan Lebuh raya Utara Selatan malah ia merupakan kawasan rekreasi yang terletak di utara Bandaraya Ipoh Ianya boleh di masuki melalui Lebuhraya Utara Selatan melalui susur keluar Sungai Siput dan Jalan Kuala Kangsar.

Difahamkan kawasan bukit batu kapur ini telah di terokai seawal 1880 oleh pelombong bijih timah Melayu yang mana perlombongan ini telah di lakukan di dalam gua-gua yang terdapat di sini dan menghasilkan kawasan landskap indah seperti kawasan berpaya dan tasik.

Kawasan Gunung Lang seluas 111.93 hektar  ini dikatakan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 2 dan perlu di pulihara iaitu hanya digunakan untuk eko pelancongan, penyelidikan dan pendidikan.

Malah keunikan formasi batu kapurnya juga telah menarik minat pengunjung kerana ianya terletak berhampiran pusat bandar Ipoh.

Apa Yang Menarik Di Gunung Lang?

Dipintu masuk Taman Rekreasi Gunung Lang ini juga, pengunjung berpeluang menikmati percikan air dari air terjun buatan yang merupakan air terjun buatan manusia tertinggi di Malaysia.

Tapi ada waktunya untuk air terjun ini beroperasi iaitu Isnin-Jumaat (10 pagi-12 tengah hari)(4 petang-6 petang) dan pada Sabtu/Ahad/cuti umum (9 pagi-11 pagi)(1 petang-3 petang) dan (5 Petang-7 Malam) sahaja.

Malah masuk sahaja di perkarangan taman ini, anda boleh lihat orang ramai begitu teruja memberi makan kepada ikan jenis keli Afrika dan Ikan Koi, talapia dan lampam yang bersaiz besar.

Makanan ikan ada dijual di gerai makanan cuma berharga RM1 sahaja.

Selepas itu anda boleh bergerak memasuki Gunung Lang dengan menaiki bot khas yang disediakan bagi menyeberang tasik dan melihat mini zoo, Rumah Perak dan pelbagai taman di dalam taman tersebut.

Tambang untuk menaiki bot : RM3 bagi dewasa, bagi kanak-kanak dan warga emas RM1.50 untuk ke pulau itu sejauh kira-kira 300 meter.

Operasi bot adalah pada Isnin hingga Khamis 8 pagi hingga 6 petang, Jumaat (8pagi-12 Tengah Hari)(3 petang-6 petang) manakala pada Sabtu/Ahad/cuti umum (8.30 pagi -6 petang)

Mini Zoo

Taman ini turut menyediakan mini zoo, sepanjang perjalanan anda di dalam taman tersebut anda akan dapat saksikan haiwan seperti burung, burung kasawari, rusa, kuda padi dan landak yang dijaga rapi di dalam kandang masing-masing.

Namun anda dilarang memberi makanan kepada binatang tersebut.

Menara Tinjau
Anda yang bertenaga boleh cuba memanjat anak tangga menara tinjau bagi melihat panorama sekitar taman dari aras tinggi.
Terdapat dua menara tinjau yang boleh anda kunjungi dan bergambar kenangan.

Gua Muka Gorila dan Tasik Ikan Keli
Anda juga jangan lepaskan peluang melihat sendiri gua yang dikatakan berwajah seperti muka Gorila dan memberi makan ikan keli berhampiran tasik taman tersebut.

Jika letih banyak pondok rehat yang redup ditutupi pepohon hijau untuk anda berehat sebentar malah rumah Perak boleh anda masuk untuk bergambar secara dekat.

Terdapat juga kemudahan seperti tandas awam, gerai makanan dan surau buat pengunjung serta sewaan basikal yang cuma berharga RM5 sejam bagi basikal dewasa dan RM2 bagi basikal kanak-kanak.

Rumah Perak

Anda juga boleh melihat sendiri seni bina dan keunikan rumah di tradisional di Negeri ini yang terdapat di dalam taman ini, malah ia lengkap dengan pencahayaan dan kipas untuk kemudahan pengunjung.

Kalau datang Ipoh tak tahu nak ke mana, boleh juga anda masukkan Taman Rekreasi Gunung Lang di dalam ‘list’ aktiviti anda kerana taman ini sesuai untuk anda yang inginkan ketenangan bersama seisi keluarga.

Kemudahan Semakin Terbiar, Tidak Diurus Dengan Baik

Disebalik keindahannya Gunung Lang semakin dilihat seolah tidak terusus apabila kebanyakkan pondok rehat kelihatan usang, pasu-pasu bunga yang pecah dan timbunan sampah berhampiran taman dibiarkan begitu sahaja.

Malah hasil tinjauan mendapati terdapat rangka struktur bangunan yang telah reput menunggu masa untuk roboh dikhuatiri membahayakan keselamatan pengunjung terutama kanak-kanak.

Pihak berwajib iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) perlu mengambil langkah mengatasi masalah penyelenggaraan taman ini supaya ia sentiasa indah dan selamat.

Adalah satu kerugian apabila taman yang mendapat kehadiran pengunjung begitu ramai menyediakan kemudahan sedemikian.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");