Berita Hari Ini

Obike Bekerja Sama Dengan Polis Bendung Vandalisme

KUALA LUMPUR — Dicampak ke dalam longkang, digantung di atas pokok, tiada pedal, brek atau tayar dan ditinggalkan di laluan pejalan kaki.

Ini adalah antara nasib yang diterima basikal oBike, perkhidmatan perkongsian sewa basikal tanpa stesen yang pertama di Malaysia.

Dengan meningkatnya kes vandalisme melibatkan basikal oBikes, Pengurus Pemasarannya Elaine Chan berkata syarikat itu telah mengambil beberapa langkah termasuk bekerja sama rapat dengan pihak polis untuk mengatasi ancaman daripada mereka yang tidak tahu menghargai perkhidmatan ini.

“Kami sering mendapatkan nasihat polis untuk mengatasi isu ini. Bukan hanya polis, malah pihak berkuasa tempatan, hotel dan agensi pengangkutan juga membantu kami dengan menyalurkan maklumat mengenai vandalisme yang boleh digunakan sebagai bukti untuk membuat laporan polis, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Chan berkata oBike juga telah meningkatkan ciri keselamatan pada basikalnya seperti memasang tempat duduk yang tidak boleh ditanggalkan, menaik taraf kunci pintar dan aplikasi yang mana penunggang akan dimaklumkan sebaik sahaja menunggang di luar zon yang ditetapkan.

Beliau memberi amaran mereka yang ditangkap kerana merosakkan basikal oBike boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chan berkata kebanyakan kes vandalisme ke atas basikal syarikat itu dilakukan oleh bukan pelanggan yang merosakkannya, malah ada yang mencuri dan membawa pulang basikal itu ke rumah.

Ada juga dalam kalangan pelanggan yang meletakkan basikal di tempat yang tidak sepatutnya seperti di kawasan persendirian dan mereka yang melakukannya boleh dianggap sebagai mencuri dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Setiap penunggang oBike boleh mendapatkan 100 mata kredit apabila mendaftar dan jika meletakkan basikal dengan betul, mereka akan dikenakan sewa 50 sen sejam.

Ada antara pengguna yang meletakkan basikal bukan di kawasan parkir yang ditetapkan, dan dengan berbuat demikian 20 mata kredit oBike mereka akan dipotong dan caj yang tinggi akan dikenakan, katanya dan menasihatkan pengguna supaya lebih bertanggungjawab semasa menunggang basikal oBike.

Ditanya mengenai nilai kerugian yang ditanggung oBike angkara vandalisme, Chan berkata ia masih boleh “diuruskan” dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Vandalisme bukannya eksklusif kepada mana-mana golongan masyarakat kerana ia adalah sebahagian daripada tingkah laku manusia apa yang penting ialah bekerjasama untuk mengurangkan kadar vandalisme.

Tambahan pula, oBike dilancarkan dengan matlamat untuk menjadikan perkongsian basikal sebagai pengangkutan awam untuk dinikmati rakyat Malaysia dan sekiranya vandalisme masih berterusan dan semakin meningkat, ia akan memberi kesan kepada sistem dan pengguna yang mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini mungkln tidak dapat menikmatinya, kata beliau.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");